Bajet Sabah 2020 Sedia Peruntukan Baiki Jalan Pelancongan Luar Bandar

70

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
PENAMPANG: Bajet Sabah 2020 akan memperuntukkan dana khas untuk menyelenggara atau menaik taraf semua jalan menuju ke kawasan pelancongan di luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, dana berkenaan akan diuruskan oleh Jawatankuasa Khas Pembangunan Pelancongan Luar Bandar yang telah ditubuhkan beberapa bulan lalu.

“Ini adalah inisiatif kami sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan dalam pembangunan luar bandar termasuk melihat isu-isu infrastruktur jalan pelancongan luar bandar.

“Kebanyakan jalan menghubungkan pusat pelancongan yang diusahakan komuniti luar bandar tidak dapat diselenggara berikutan ketiadaan peruntukan khusus.

“Oleh itu, Kabinet negeri pada mesyuarat beberapa bulan lepas telah membuat ketetapan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Pelancongan Luar Bandar bagi memperincikan polisi berkaitan sektor pelancongan luar bandar dan melipatgandakan usaha membangunkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Persatuan Pelancongan, Homestay dan Produk Pelancongan Kampung Kibunut Penampang, di sini hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, selain peruntukan khas untuk jalan perhubungan pelancongan luar bandar, kementeriannya juga menyediakan peruntukan khusus untuk Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) bermula tahun depan.

“Ini adalah inisiatif kementerian untuk membantu mensejahterakan penduduk luar bandar agar mereka juga turut menikmati manfaat pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Mengenai program itu, beliau memuji usaha penduduk kampung menubuhkan persatuan itu dan berharap akan menjadi platform untuk memajukan ekopelancongan di kampung itu.

“Kita mengalu-alukan penubuhan persatuan ini dan menyeru penduduk kampung agar terus bekerjasama memajukan kampung ini,” katanya.