Bajet Sabah 2020 Bukti Kerajaan Berjiwa Rakyat

177

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick menyifatkan bajet negeri Sabah 2020 sebagai bukti kerajaan Sabah berjiwa rakyat yang mengambil kira kepentingan rakyat secara holistik, termasuk pembangunan luar bandar.

Beliau juga menyifatkan belanjawan ini mempunyai keunikan tersendiri kerana mencakupi beberapa perkara mustahak yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

Katanys, bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, peruntukan pembangunan awal yang disediakan bagi tahun 2020 adalah untuk Projek Pembangunan Kecil sebanyak RM10 juta, Program Ameniti dan Ekonomi Desa (RM3 juta), Program Satu Daerah Satu Produk dan Program Pembangunan Usahawan Desa masing-masing RM1 juta, Program Pembasmian Kemiskinan (RM16 juta) dan Peruntukan Khas untuk ADUN, Menteri dan Pembantu Menteri sebanyak RM78.220 juta.

“Oleh kerana kod-kod baru projek baru semua kementerian hanya dapat dibuat semula dalam Rancangan Malaysia Ke-12 seperti yang dinyatakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Kementerian Kewangan, maka pelaksanaan bagi program-proram baru KPLB Sabah pada tahun hadapan akan dilaksanakan melalui peruntukan di bawah kod-kod projek sedia ada.

“Program-program baru KPLB Sabah ialah Jalan Pelancongam Komuniti Luar Bandar, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2020 yang dibentangkan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian menghargai pengiktirafan Ketua Menteri ke atas program-program keusahawanan desa yang dilaksanakan KPLB Sabah dan juga penyediaan peruntukan untuk program-program pembasmian kemiskinan di negeri ini.

“Saya menghargai pengiktirafan Ketua Menteri ke atas program pembangunan keusahawanan desa dengan meneruskan program ini tahun hadapan kerana ia berjaya melahirkan usahawan-usahawan sehingga meraih kejayaan dan anugerah di peringkat antarabangsa.

“Bagi pembasmian kemiskinan kerajaan negeri telah memberikan peruntukan awal tahun sebanyak RM19 juta untuk melaksanakan antara lainnya program ameniti dan ekonomi desa, pembinaan Rumah Sejahtera Sabah dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Kampung Sejahtera.

“Saya tahu peruntukan ini tidak mungkin akan memadai, dan akan terus berusaha mendapatkan peruntukan tambahan semasa perbekalan tambahan tahun hadapan.

“Ini kerana pembasmian kemiskinan masih merupakan cabaran besar yang perlu ditangani oleh KPLB Sabah,” katanya.

Bagi Program Sentuhan Kasih, beliau menghargai pengiktirafan Ketua Menteri kepada usaha-usaha mendekati rakyat yang dilaksanakan oleh Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan di kawasan masing-masing dengan menambah peruntukan Program Sentuhan Kasih sebanyak RM100,000 pada tahun hadapan.

Dalam pembentangan bajet negeri 2020, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM124.35 juta kepada KPLB Sabah untuk meningkatkan pembangunan dan taraf hidup penduduk di kawasan luar bandar.

Peruntukan tersebut akan digunakan antara lainnya untuk membiayai pelaksanaan Program Ameniti dan Ekonomi Desa; Projek Pembangunan Kecil; dan Program Satu Daerah Satu Produk dengan peruntukan sebanyak RM15.45 juta.

Ewon berkata, belanjawan ini mempunyai keunikan tersendiri kerana mencakupi beberapa perkara mustahak yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, Pemberian Khas Kerajaan Persekutuan, seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) telah disemak semula selepas 50 tahun di mana pemberian khas dinaikkan daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta.

“Saya bersetuju dengan Ketua Menteri bahawa kita masih jauh daripada berpuashati dengan jumlah tersebut, tetapi ia merupakan satu indikasi bahawa perundingan tuntutan pelaksanaan MA1963 di bawah Kerajaan hari ini sedang membuahkan hasil,” katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 90 buah kampung telah dikeluarkan daripada kawasan Hutan Simpan meliputi daerah Kudat, Pitas, Kota Belud, Tamparuli, Tuaran, Kota Kinabalu, Tenom, Beluran, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna.

Bagi penjawat awam, beliau berkata, 958 jawatan baharu pelbagai gred Perkhidmatan Awam Negeri telah diwujudkan dari tahun 2018 sehingga setakat 30 September 2019. Kerajaan Sabah juga telah memutuskan untuk tidak lagi melantik semula pegawai-pegawai kanan yanh sudah bersara wajib bagi membolehkan regeneration of Sabah civil service dengan konsisten.

“Berkaitan dengan ini juga, Kerajaan Sabah menyediakan penganugerahan biasiswa pegawai kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada 33 pegawai kanan setakat September 2019. Manakala sebanyak 143 pegawai pengurusan tertinggi telah dihantar mengikuti program-program latihan khas di dalam dan luar negara,” katanya.

Ewon berkata, peruntukan bagi Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam, Sekolah-Sekolah Persendirian Bukan Islam dan Sekolah-Sekolah Mubaligh juga dinaikkan, iaitu daripada RM35 juta pada tahun ini kepada RM43 juta bagi tahun hadapan.

“Saya ucap tahniah kepada Ketua Menteri di atas pembentangan belanjawan Kerajaan Negeri Sabah yang kedua bagi Kerajaan hari ini. Semoga pembangunan Sabah terus dilaksana sesuai dengan aspirasi rakyat melalui kesatuan dan kerjasama antara pimpinan, perkhidmatan awam, rakan strategik dan rakyat,” katanya.