Bajet Negeri 2018: Hadiah Istimewa Untuk RASA – Gan Po Tiau

Bangunan lama Wisma Radio Sabah mempunyai nilai nostalgia yang tinggi kepada mantan penyiar.

KOTA KINABALU: Persatuan Alumni Radio Sabah (RASA) menyifatkan Bajet Negeri Sabah 2018 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada Khamis sebagai satu hadiah istimewa buat Alumni tersebut khasnya dan seluruh rakyat Sabah amnya.

Ini berikutan hasrat Kerajaan untuk mewartakan bangunan lama Wisma Radio Sabah (WRS) yang terletak di kilometer 2.4 Jalan Tuaran, sebagai salah sebuah bangunan khazanah budaya di negeri Sabah.

Dalam satu kenyataan media, Presiden RASA, Gan Po Tiau, merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Musa Haji Aman, kerana Kerajaan Negeri telah membuat satu keputusan bijak bagi memulihara kesan dan peninggalan sejarah lama, seperti bangunan Wisma Radio Sabah, sebagai bangunan warisan budaya yang berpotensi untuk dipromosikan sebagai suatu lagi produk pelancongan bagi negeri Sabah.

GAN PO TIAU

“Bagi pihak RASA, saya mengalu-alukan langkah untuk memulihara dan mengekalkan WRS, dan menganggap ia sebagai satu hadiah istimewa kepada Persatuan kami, pertama, kerana WRS mempunyai nilai nostalgia yang tinggi kepada kami mantan penyiar.

“Kedua, bangunan tersebut mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai harganya, kerana ia pernah dijadikan sekretariat oleh Suruhanjaya Cobbold pada Februari 1962, iaitu kira-kira setahun tujuh bulan sebelum pengisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

“Ternyata WRS itu bukan sekadar menempatkan sebuah stesen penyiaran utama untuk negeri Sabah, bahkan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan usaha-usaha penting dalam pembentukan negara kita, Malaysia,” kata Gan.

Tambah Gan, Negeri Sabah sememangnya kaya dengan khazanah alam semula jadi yang wajar dinikmati oleh kita sepanjang masa.

Ini ditambah lagi dengan wujudnya kesan dan peninggalan sejarah silam menjadikan negeri Sabah turut kaya dengan tapak dan bangunan lama bernilai warisan sejarah yang perlu dipulihara dan dikekalkan untuk tatapan generasi mendatang.

Click on the advertisement to know more.

Justeru, dasar pengekalan “kekayaan” khazanah alam dan tapak-tapak warisan budaya di negeri Sabah untuk dimanfaatkan oleh seluruh rakyat adalah tepat sekali pada masanya dan kami dalam RASA amat menghargainya.

Tambah Gan lagi, “RASA memang memperjuangkan pengekalan dan pemuliharaan ini, dan apa yang bakal dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk mewartakan WRS sebagai bangunan dan tapak khazanah budaya adalah tepat pada masanya memandangkan bangunan itu semakin terbiar usang dan amat menyedihkan.

Kami akan syorkan supaya pihak kementerian yang berwajib segera memagari kawasan tersebut sebagai kawasan larangan bagi memastikan tiada lagi aktiviti pencerobohan berlaku.”

Dalam pada itu, RASA juga menyambut baik usaha Kerajaan Negeri untuk memantapkan lagi Enakmen Warisan Budaya Negeri (Pemuliharaan) 1997, di mana semasa sidang Dewan Negeri yang baru lalu, telah diluluskan Rang Undang-Undang Warisan Negeri 2017, yang memperincikan skop Enakmen Warisan Budaya Negeri – menjadikannya lebih jelas dan realistik.

Graphics ihsan dari FB Musa Aman

Ini sudah tentu amat baik untuk kerajaan dan rakyat, dan bagi kami ahli-ahli RASA, demi kepentingan pengekalan dan pemuliharaan peninggalan sejarah lama seperti WRS.

Pada RASA, langkah Kerajaan Negeri ini, terutama dasar pengekalan dan pemuliharaan yang berkaitan dengan alam sekitar dan khazanah budaya negeri, seperti dasar pemuliharaan hutan, dasar pemuliharaan spesis terancam, dasar pemeliharaan dan pembesaran taman-taman negara, dan kini dasar pemuliharaan tapak warisan bersejarah mencerminkan keperihatinan dan cakna kepimpinan Musa, yang sentiasa peka dengan keperluan dan kehendak semasa.

Mengulas lanjut bersabit Bajet Negeri 2018, Gan berkata, Bajet lebihan RM4.1 bilion, iaitu bajet lebihan bagi empat tahun berturut-turut mencerminkan prestasi cemerlang kepimpinan negeri dalam mengurus dan mentadbir ekonomi demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

“Bajet 2018 ini nyata satu bajet yang holistik dan menekankan kepentingan rakyat berbagai peringkat. Bajet ini mencerminkan bahawa Negeri Sabah sememangnya sedang nenikmati kepesatan pembangunan yang amat luarbiasa. Tak siapa boleh menafikannya. RASA mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri, khususnya Ketua Menteri.”