Bajet 2019: Sabah Terima RM5B; Shafie Apdal Harap Perincian Lebih Spesifik

6056

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menyokong dan menyambut baik Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau mahukan agar perincian secara lebih spesifik diberikan melalui peruntukan yang berjumlah RM 5 bilion kepada Sabah yang dinyatakan itu.

Katanya, mengambil kira keadaan ekonomi yang amat mencabar dan kewangan yang terbatas, Sabah masih menerima peningkatan peruntukan, iaitu daripada RM 4.13 bilion kepada RM5 bilion.

Beliau berharap peruntukan itu akan digunakan lebih kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, air, elektrik serta kemudahan kesihatan. Kemudahan kesihatan seperti ubat-ubatan juga ditingkatkan kerana kita bukan hanya perlukan doktor dan bangunan hospital yang besar.

Ditanya adakah peruntukan itu mencukupi, Shafie berkata, Sabah memang memerlukan lebih banyak peruntukan namun, mengambil kira keadaan yang berlaku sekarang dengan kerajaan berdepan bebanan hutang yang perlu dibayar, beliau faham dengan keadaan itu.

RM5 billion untuk Sabah.

Bagaimanapun beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan turut melihat kepada sektor yang diberi perhatian oleh Sabah iaitu keselamatan, pendidikan dan kesihatan.

Mengenai sektor pelancongan, dimana 50 peratus hasil yang diperolehi Kerajaan Pusat akan diagihkan kepada negeri-negeri yang mempromosikan pelancongan, beliau yakin ia akan memberi manfaat kepada Sabah.

“Saya yakin sekiranya Kerajaan Pusat memperoleh RM50 juta maka, RM25 juta akan diperolehi di peringkat negeri. Jika ia meningkat kepada RM100 juta kemungkinan negeri-negeri yang menggalakkan pelancongan ini akan memperolehi hasil yang lebih banyak.

“Bagi saya ini satu pendekatan baru untuk meningkatkan lagi sektor pelancongan yang merupakan sektor yang diberi tumpuan oleh negeri Sabah,” katanya.

Dalam soal keselamatan, saya melihat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) juga turut mendapat tumpuan dalam belanjawan kali ini.

Usaha mengurangkan levi tenaga buruh dalam bidang perladangan juga dilihat akan membantu mempertingkatkan lagi sektor ini kerana ia juga merupakan tulang belakang Sabah.

Pengurangan levi buruh ini bukan hanya akan membolehkan syarikat besar memperoleh pendapatan tetapi juga pekebun kecil.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi jaminan kerajaan akan memastikan Sabah dan Sarawak terus dibangunkan.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5,009 juta untuk Sabah berbanding RM4,133 juta pada 2018.

“Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak tertakluk kepada rasionalisasi kos.

“Disamping itu, projek di Sabah dan Sarawak akan merangkumi pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan, serta pembangunan koridor ekonomi negeri masing-masing.

Bagi menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas, terutama di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM 150 juta.