Bahasa Melayu Perlu Dimartabatkan, Digunakan Dalam Semua Bidang

70

KOTA KINABALU: Bahasa Melayu perlu dimartabatkan melalui penggunaan secara meluas dalam apa bidang sekali pun sama ada oleh sektor awam atau swasta.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, Malaysia perlu mencontohi negara-negara maju yang sentiasa memastikan bahasa ibunda mereka diperkasakan seiring dengan perkembangan ekonomi yang pesat.

Jaujan berkata, jika bahasa kebangsaan menjadi pilihan, ia mampu membawa nilai komersial yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kesannya sekarang ini ratusan ribu masyarakat barat berlumba-lumba untuk mempelajari bahasa Mandarin di negara China kerana negara China telah muncul sebagai pusat ekonomi dunia yang paling pesat berkembang.

“Begitu juga bahasa Jepun, bahasa Perancis atau bahasa Jerman dipelajari kerana negara tersebut telah menjadi negara maju, semua negara ini memberi nilai ekonomi pada bahasa mereka dengan menggunakannya dalam semua bidang,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaaan 2019 Peringkat Negeri, di sini semalam.

Jaujan berkata, bahasa Melayu juga merupakan salah satu pemangkin utama dalam mewujudkan perpaduan di negara ini yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

Sementara itu katanya, di peringkat dasar, pelbagai langkah telah diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memastikan bahasa Melayu dihayati dan diterima oleh seluruh masyarakat.

Menurutnya, tiga dasar utama diberi penekanan oleh kerajaan dalam menjayakan matlamat tersebut iaitu dasar pendidikan, dasar kebudayaan dan dasar penyiaran.

Bagaimanapun katanya, pembangunan bahasa kebangsaan pada era mendatang harus memberikan tumpuan kepada dua perkara, iaitu penegasan semula dasar bahasa negara dan penyelesaian beberapa masalah pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan.

Katanya, dalam Dasar Bahasa Negara, penegasan pelaksanaan dan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan sejajar dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

“Peneguhan sikap penggunaan bahasa juga hendaklah diberikan tumpuan dalam pengisian program Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan.

“Pemupukan sikap dan peneguhan bahasa dalam kalangan masyarakat terhadap bahasa Melayu tidak harus dipandang ringan kerana kita bimbang bahasa yang kurang diungkapkan dalam apa jua suasana akan menghilangkan kewibawaan,” katanya.