Babi Peliharaan Di Pitas Dikesan Positif Penyakit Demam Babi Afrika

JEFFREY KITINGAN

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sabah (JPVS) mengaitkan kematian babi yang berlaku di Pitas dengan kemungkinan penyakit demam babi Afrika (ASF).

Timbalan ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, bagaimanapun ujian lanjut masih dilakukan bagi mengesahkan penyakit itu.

“Ujian awal menunjukkan lapan daripada 13 sampel yang diambil daripada babi peliharaan di Pitas menunjukkan tanda positif ASF.

“Pada masa ini, JPV di Putrajaya sedang menjalankan ujian pengesahan untuk penyakit melalui ujian DNA dan kita akan mendapat keputusan dalam masa sehari atau dua hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jeffrey berkata, beliau dimaklumkan oleh Pengarah JPVS Dr Peter Lee bahawa pegawai dan kakitangannya sudah berada di lapangan sejak dua minggu lalu susulan laporan mengenai penyakit tersebut dalam usaha mengawal penularan penyakit berkenaan.

Penyakit ASF itu merebak ke negara Asia sejak ia dikesan di China pada 2018, dengan 100juta babi mati dan dikorbankan bagi mengawal penularan penyakit ini.

ASF bukan hanya membawa risiko kematian kepada babi tetapi juga mendatangkan bahaya kepada manusia.

Beliau berkata, pengesanan penyakit ini hanya ditemui dalam kalangan babi peliharaan di Pitas dan bukan dalam kalangan babi hutan yang ditemui mati sejak Disember tahun lalu.

“Kita bernasib baik kerana Pitas bukan daerah yang menternak babi. Ia hanya menjadi kawasan peliharaan ratusan babi kampung serta babi hutan yang berkeliaran di ladang dan hutan. Daerah terdekat yang mempunyai populasi babi yang banyak adalah Kota Marudu yang terletak 50km dari Pitas dan Kudat yang terletak 150km.

“Daerah yang menternak babi di Sabah adalah Tamparuli, Tuaran dan Papar di kawasan Pantai Barat manakala, di Pantai Timur adalah di Tawau dan Sandakan.

“Semua daging babi yang dijual di pasaran diluluskan untuk pengambilan manusia, disembelih oleh pusat sembelihan yang diluluskan JPVS dan diperiksa sebelum dipasarkan.

“Jabatan juga sedang menjalankan ujian dari masa ke semasa bagi mengawal kualiti dan pemantauan penyakit,” ujarnya.

Dalam masa sama, Jeffrey turut menasihatkan penggiat industri babi untuk meningkatkan tahap bio-keselamatan di ladang babi masing-masing.

Ini termasuk melarang orang luar untuk memasuki kawsasan ladang, disinfeksi kenderaan yang masuk ke ladang dan tukar pakaian sebelum masuk ke ladang.