Azmeera Lahir Penghargaan Terhadap Penyokong Azis Dalam Bahasa Mandarin

3813
Azmeera

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Walau terpaksa berkongsi masa terluang ayahnya dengan rakyat di seluruh Malaysia, Azmeera Shafeena Azis masih merasa gembira kerana ayahnya boleh menyumbang sesuatu kepada pembangunan negara.

Di dalam ucapan ringkasnya dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Sepanggar berkata, mewakili ayahnya dia ingin melahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Sepanggar yang menyokong ayahnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

”Walaupun ayah saya milik rakyat dan banyak meluangkan masa untuk rakyat namun, beliau masih akan membahagikan masa bersama keluarga.

”Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong ayah saya semoga anda semua terus sihat dan memperoleh kemakmuran sepanjang tahun ini,” kata anak kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman.

Azmeera,17, yang baru tamat persekolahan di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu menyampaikan ucapan berkenaan dalam Bahasa Mandarin dihadapan lebih 2,000 orang tetamu yang hadir dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Sepanggar, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal dalam ucapannya menyatakan rasa bangga melihat cucunya itu boleh bercakap Bahasa Cina dengan fasih dan itu amat menyentuh perasaannya.

Katanya, itu adalah sesuatu yang baik dan generasi muda sebeginilah yang dimahukan di Malaysia.

Beliau berkata, toleransi dan hidup dalam masyarakat yang berbagai kaum dan agama ini perlu terus dipelihara dan dipertingkatkan.

”Walau kita berlainan bangsa dan agama, kita perlu mengambil langkah untuk hidup dalam kepelbagaian itu,” jelasnya.