Azis ‘Refresh’ Ingatan Pairin Melalui Minit Mesyuarat Pernah Dipengerusikannya

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Datuk Mohd. Azis Jamman hari ini ‘menyegarkan’ kembali daya ingatan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menafikan bahawa pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) adalah susulan daripada cadangan kerajaan Barisan Nasional (BN) dikenali sebagai Pas Residen Sabah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mempunyai rekod minit mesyuarat Jawatankuasa Warga Asing Teknikal (JKPWAS – Teknikal) yang dipengerusikan Pairin sendiri pada 2015 semasa menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Katanya, selain itu, beliau turut memiliki rekod minit mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Induk (JKPWAS-Induk) yang dipengerusikan bersama Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang memberi sokongan kepada keputusan dibuat JKPWAS Teknikal.

“Ketika itu JKPWAS Teknikal bermesyuarat pada 12 Mei 2015 melalui Bilangan Mesyuarat Bil 2/2015 yang di pengerusikan oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, dalam mesyuarat tersebut, mengambil maklum cadangan pengurusan menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada Majlis Keselamatan Begara (MKN) antaranya pelaksanaan Pas Residen Sabah bagi mengelakkan pemalsuan dokumen.

“Pada 16 Mei 2016, Mesyuarat JKPWAS-Induk (JKPWAS-Induk Bil 1/2016) yang di pengerusikan oleh Ahmad Zahid dan Musa mengambil maklum penambahbaikan pelaksanaan Pas Residen Sabah antaranya menukar nama Pas Residen Sabah kepada Pas Residen Sementara Sabah dan sekali lagi objektifnya untuk menyelesaikan masalah kepelbagaian dokumen pengenalan diri warga asing di Sabah.

PAIRIN KITINGAN

“Jadi, apa lagi yang ingin dinafikan oleh Pairin, apakah beliau sudah lupa butiran perbincang berlaku dalam mesyuarat yang dipengerusikan beliau sendiri, tuduhan yang dibuat oleh beliau dengan mengatakan bahawa PSS diadakan secara mendadak oleh pentadbiran baru kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri Parti Warisan Sabah adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Mohd. Azis berkata, semua minit mesyuarat itu telah didedahkan dalam sesi penggulungan Dewan Negara semalam, justeru amat pelik apabila pemimpin dan penyokong PBS menyatakan mereka kononnya terkejut dengan PSS sedangkan pemimpin mereka sendiri yang mempengerusikan mesyuarat semasa cadangan tersebut awal-awal dikeluarkan.

Tegas beliau, PSS seperti yang pernah dicadangkan tidak akan dikeluarkan kepada permohonan baharu sebaliknya hanya untuk pemegang Kad Pendaftaran Khas Orang Asing (IMM13), Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dikeluarkan oleh PBS dan BN.

“Sekali lagi suka saya ingatkan bahawa cadangan pelaksanaan PSS dimulakan oleh kerajaan terdahulu dengan niat selain mengkoordinasikan tiga dokumen yang berbeza dikeluarkan oleh tiga agensi yang berlainan hingga menyukarkan pegawai penguat kuasa Imigresen untuk membuat penguatkuasaan malah rancangan pelaksanaan Pas Residen Sementara Sabah dan sekarang di tukar nama kepada Pas Sementara Sabah adalah bertujuan untuk memburu dokumen-dokumen palsu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

“Ada sindiket yang wujud sehingga nampak seolah-olah terlalu ramai pemegang dokumen-dokumen ini di negeri Sabah sedangkan di dalam rekod data Imigresen, MKN dan Jabatan Hal-Ehwal Negeri Sabah setelah digabung ketiga-tiganya hanyalah 136,055 yang aktif,” katanya.