Mohd Azis dimasukkan dalam wad kecemasan di hospital swasta itu kira-kira jam 2 petang tadi dari Hospital Daerah Tuaran dengan diiringi oleh sekumpulan individu dipercayai ahli rombongan konvoi serta kakitangan kementerian.
Bagaimanapun, petugas media yang mengambil gambar di kawasan wad kecemasan itu dihalang untuk menjalankan tugas dan diminta berkumpul di bahagian lobi hospital sahaja bagi mendapatkan maklumat.
Terdahulu, dalam jam 8.15 pagi tadi, beliau dikatakan melancarkan program konvoi “Jelajah Kesedaran Bahaya Dadah” anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan menunggang motosikal besar untuk ekspedisi Kota Kinabalu-Semporna.
Sebaik sahaja Mohd Azis tiba di kawasan Nabalu menuju ke Ranau, jam 10 pagi tadi, motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan.
Beliau mengalami kecederaan di bahagian kaki dalam kemalangan tersebut sebelum dikejarkan ke Hospital Daerah Tuaran untuk rawatan kecemasan. – Ruzaini Zulkepli | AstroAwani