Ayuh Anifah! Ikuti Perjuangan Sebenar MA63 Bersama Warisan – Azis

1129
AZIS JAMMAN

Oleh WARTAWAN BORNEOTODAY
KUDAT: Parti Warisan Sabah menyeru Anifah Aman supaya memenuhi janjinya untuk keluar dari Umno sekiranya Perjanjian Malaysia 1963 tidak dilaksanakan.

Merujuk kepada kenyataan Anifah yang tersiar di suratkhabar tempatan pada 11 Mac, 2018, Ketua Wira, Azis Jamman berkata jika beliau betul-betul seorang yang berpegang kepada kata-katanya, Anifah sepatutnya tinggalkan Umno dan bersama Warisan untuk memperjuangkan MA63.

Azis berkata demikian pada satu acara santai bersama lebih 800 penduduk Kg Karakit di Pulau Banggi pagi Khamis.

ANIFAH AMAN

Mereka yang hadir adalah presiden Warisan, Shafie Apdal, bekas presiden LDP, VK Liew, mantan timbalan presiden Parti Cinta Sabah, Paul Voon dan bekas timbalan menteri era Berjaya, Ahmadshah Tambakau.

Turut menyampaikan ucapan mereka pada acara itu ialah Ketua Warisan Banggi, Miasin Nusiri dan Ketua Warisan Kudat, Abu Bakar Angkang.

Anifah, ahli parlimen Kimanis, dipetik sebagai berkata beliau tidak akan tinggal walau sehari pun dalam Umno atau menerima apa-apa jawatan menteri sekiranya Perdana Menteri tidak melaksanakan hak-hak rakyat Sabah seperti yang dijanjikan dalam MA63.

Menurut Anifah, itu adalah jawapannya kepada parti-parti pembangkang yang sering mempertikaikan janji Najib walaupun, kata Anifah, Najib adalah seorang yang dikenali sebagai individu yang menepati janji.

Beliau dilaporkan berkata demikian pada Hari Terbuka SK Kimanis pada 10 Mac, 2018.

Rakyat Sabah semakin gelisah kerana mereka melihat janji Najib untuk mengembalikan hak-hak Sabah hanya sebagai satu gimik politik.

Nampaknya keresahan mereka sudah menjadi kenyataan. Apabila Barisan Nasional melancarkan manifestonya, salah satu janji kepada Sabah dan Sarawak adalah merealisasikan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 tetapi ia mesti melalui konsensus atau persetujuan semua.