Awas Makanan Tidak Halal Dijual Di Rak Tidak Dikhususkan

1878

LABUAN : Sempena Tahun Baharu Cina ini orang ramai di sini diminta lebih berhati-hati dengan produk tidak halal yang dijual di rak yang bukan dikhaskan untuk produk seumpama itu.

Keadaan itu dikesan berlaku di sebuah pasar raya besar di pulau bebas cukai ini.

Ia ditemui dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan sempena Tahun Baharu Cina bulan depan, yang diketuai Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Lebih 30 kakitangan daripada Jabatan Kesihatan, Perbadanan Labuan (LC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Agama Islam Willayah Persekutuan (JAWI) telah memeriksa pasar raya-pasar raya terkemuka di pulau ini dan menemui beberapa daripadanya melakukan kesalahan itu termasuk kesalahan meletak produk sejuk beku dalam peti sejuk.

Dr Ismuni berkata terdapat sekurang-kurangnya tiga kotak mengandungi pelbagai produk yang menyalahi peraturan pelabelan bernilai lebih RM1,600 dirampas, selain notis amaran dikeluarkan kepada pengendali.

Dr Ismuni menjumpai produk yang dilabelkan tidak halal dijual dirak yang tidak dikhususkan

“Kami menemui produk tidak halal dijual di tempatkan di rak-rak yang tidak dikhususkan untuk tujuan itu dan kami menyerahkan perkara ini kepada pihak JAWI dan KPDNHEP untuk mengambil tindakan lanjut,” kata beliau.

Dr Ismuni berkata sejumlah 773 produk bernilai RM6,141 dirampas pada 2018 iaitu peningkatan sebanyak 75 peratus berbanding 442 pada 2017.

Kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah barangan telah tamat tempoh atau telah rosak.
Beliau juga berkata sebanyak 132 kompaun berjumlah RM91, 300 telah dikeluarkan sejak 2015 hingga 2018.

“Operasi ini bukan hendak menghukum para peniaga tetapi lebih untuk memberi kesedaran mengenai perniagaan beretika,” kata Dr Ismuni