Awang Ahmad Sah, Ketua Penerangan Warisan Baharu

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari sebagai Ketua Penerangan Warisan yang baharu.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) hari ini.

Jawatan tersebut kosong setelah ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob keluar meninggalkan parti untuk menjadi ADUN Bebas.

Ahmad Sah, 62, merupakan AMT Warisan dan juga Ketua Bahagian Warisan Putatan.

Beliau memenangi kerusi DUN Petagas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu.

Ahmad Sah berkata, ahli jawatankuasa penerangan parti akan menyaksikan gabungan anak muda dan ahli yang berpengalaman bagi membolehkan mereka menyelesaikan beberapa isu dengan kadar segera.

Antaranya, isu Undi 18 yang akan dilaksanakan pada hujung tahun ini dan ia membolehkan pengundi berusia 18 tahun melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Yusof yang merupakan Ketua Penerangan Warisan sebelum ini mengesahkan keluar parti pada 8 Oktober lalu dengan mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas yang menyokong kerajaan.