Awal-awal Lagi Bung Kata 20 Peratus Royalti Minyak Mustahil

Oleh AZIS KHAN
KEMABONG: Belum pun memperjuangan tuntutan hak 20 peratus royalti minyak untuk Sabah, Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin seolah-olah sudah mengalah kepada Persekutuan.

Dalam ceramah di Kemabong baru baru ini, beliau berkata, tuntutan 20 peratus itu adalah mustahil.

Isu royalti minyak adalah antara yang hangat didebatkan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memandangkan 95 peratus daripada hasil bumi Sabah itu diambil oleh Semenanjung manakala hanya 5 peratus untuk negeri ini.

Tidak cukup dengan itu, pemimpin UMNO Tengku Razaleigh Hamzah dalam sebuah rakaman video jelas menegaskan usaha cari gali minyak bertujuan untuk mengisi tabung UMNO.

“Kami membuat kajian mengenai Perjanjian Malaysia 1963 berhubung royalti yang sudah berpuluh tahun. Ini bukan perkara baharu tetapi Kerajaan Persekutuan sukar untuk lulus kerana terlalu mustahil,” katanya.

Bung berkata, perjanjian termeterai selepas merdeka dengan perbadanan antarabangsa termasuk syarikat-syarikat besar luar negara.

“Pada ketika itu Malaysia tidak ada kepakaran untuk menggerudi dan mengeluarkan minyak, jadi kita terpaksa mengguna pakai kepakaran dari luar negara,” ujar beliau lagi.

Tegasnya, hal berkaitan isu meningkatkan bayaran royalti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus adalah merumitkan.