Autopsi Sahkan Tiga Penyelam Di Kalapuan Kena Letupan Bom Ikan

103

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Laporan autopsi tiga penyelam termasuk dua pelancong China yang selesai pagi Rabu menunjukkan kecederaan dialami akibat terkena bahan letupan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, bedah siasat yang berakhir pada 5 pagi tadi (Rabu) menunjukkan berlaku kecederaan dalaman yang serius terhadap kesemua mangsa.

“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan luar yang kecil tetapi mengalami kecederaan dalaman yang serius.

“Autopsi menunjukkan kecederaan yang berlaku termasuk keretakan tengkorak, patah tulang rusuk dan pendarahan pada paru-paru.

“Semua mangsa juga mengalami kecederaan di bahagian dada dan arteri utama. Kesemua tiga mangsa menunjukkan kecederaan yang konsisten disebabkan letupan,” katanya.

Siasatan terhadap kes ini masih berjalan dan punca kematian telah dipastikan.

Sejak dari awal, polis menjalankan siasatan kes ini berdasarkan teori pengeboman ikan berikutan bukti diperolehi di kawasan mangsa ditemui pada 5 Julai di Pulau Kalapuan, Semporna.

Ketiga-tiga mangsa ditemui dengan topeng selaman yang rosak, terdapat banyak ikan mati dan terumbu karang di kawasan itu rosak.

Tiga mangsa itu adalah jurulatih selaman Zainal Abdun, 30, dan dua pelancong China iaitu Zhao Zheng, 26, dan Xu Yingjie, 26.

Bagaimanapun saksi di kawasan berhampiran mendakwa tidak mendengar bunyi letupan berlaku di kawasan berkenaan.

Setakat ini, polis menahan seorang pemandu bot dan pembantunya bagi membantu siasatan mengenai kejadian tersebut.