Atok Dan Cucu Ditemukan Mati Lemas Di Kuala Penyu

2098
Pasukan JBPM yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa di Kg Tempurung Kuala Penyu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUALA PENYU: Datuk dan seorang cucu ditemukan lemas pada jarak 10m dari pesisir pantai di Kampung Tempurung setelah kedua-dua mangsa tidak pulang seharian selepas keluar ke laut pada Isnin.

Kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Ajiz Halis, 48, dan Halid, 14, ditemukan orang awam pada 7.15 pagi Selasa dan bot yang digunakan mangsa terikat pada jangkar kira-kira 3km dari pesisir pantai.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan berhubung kehilangan dua mangsa yang dipercayai hilang setelah turun ke laut mencari ikan pada 6.14 petang Isnin.

PGO memaklumkan penduduk kampung cuba mencari mangsa tetapi mereka hanya menjumpai pendayung.

Bertindak atas maklumat, pasukan JBPM Kuala Penyu menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisiran pantai sehingga pencarian ditangguhkan pada 7.42 malam Isnin.

Keluarga mangsa mengenalpasti mayat kedua mangsa yang mati lemas setelah hilang semalam pada Isnin.

Anggota JBPM meneruskan semula operasi SAR pada 6.30 pagi Selasa yang disertai seramai 14 anggota dan diketuai pegawai JPBM Ak Mohd Rafie Pg Bahar.

Bagaimanapun, mayat kedua-dua mangsa ditemukan orang awan 45 minit kemudian pada jarak 10m dari pesisir pantai.

Pasukan bomba kemudian bertindak mengangkat mangsa dari perahu orang awam ke darat dan mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.