ATM Tampil Bantu Baik Pulih Rumah Mangsa Banjir

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meminta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut terlibat membantu agensi-agensi berkaitan membaik pulih rumah penduduk di Kota Belud yang rosak akibat banjir hujung minggu lalu.

Panglima 5 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Hafizudeain Jantan berkata, Ketua Menteri menyampaikan permintaan tersebut kepadanya memandangkan ATM mempunyai kepakaran khusus di dalam Skuadron Kejuruteraan.

Katanya, skuadron tersebut akan turut menghulurkan bantuan membina dua buah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Gunding baru-baru ini.

“Saya telah dipanggil oleh Ketua Menteri, untuk membincangkan apakah bentuk bantuan yang boleh diberikan oleh pihak tentera dalam meringankan bebanan kepada mangsa banjir yang berlaku di daerah Kota Belud baru-baru ini, khususnya berkaitan dengan kejadian kebakaran dua buah rumah penduduk di Kampung Gunding.

“Ketua Menteri sendiri mencadangkan atau memohon kerjasama tentera untuk membantu agensi-agensi lain membina semula rumah kediaman bagi mangsa yang terkesan ini, jadi di pihak tentera, saya telah pun mengarahkan pasukan jurutera untuk membuat tinjauan ke kawasan dan melihat apakah bentuk bantuan kita boleh berikan untuk bekerjasama atau bergotong-royong dengan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di pejabat beliau di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

Hafizudeain berkata, bantuan seperti itu bukanlah perkara baharu kepada ATM kerana sudah menjadi kebiasaan bagi pasukan keselamatan itu untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan dalam apa juga bentuk bantuan.

Justeru katanya, ATM akan berbincang dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan rangka kerja dapat diselaraskan untuk membantu rakyat yang terjejas.

“Buat masa ini yang terbakar  itu ada buah diKkampung Gunding, yang mana kedua-dua rumah telah ranap seratus-peratus dan pihak agensi amat bersimpatilah, jadi kita sebagai agensi yang ada di sini turut bersimpati dengan mangsa.

“Kita akan berbincang dengan semua agensi yang lain, bagaimana kita boleh membentuk suatu kerjasama untuk membina semula rumah-rumah ini, bukan keseluruhannya kepada pihak tentera,” katanya.