ATM Sedia Tingkat Aspek Keselamatan Di Sempadan Tawau

468

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Tentera Darat Malaysia (TDM) menyerahkan beberapa opsyen kepada kerajaan berhubung aspek keselamatan di sempadan sebagai persediaan kepada perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, ia termasuk membabitkan penempatan semula askar di kawasan berkenaan.

“Perancangan negara jiran untuk memindahkan ibu negara mereka di Kalimantan perlu dilihat secara positif kerana ia menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan sebagainya.

“Bagaimanapun, jika ia membabitkan ekonomi sudah tentu melibatkan elemen keselamatan,” katanya kepada media selepas merasmikan Pelancaran Sambutan Hari Tentera Darat Ke-87, di Padang Perbandaran Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.

Tambah Ahmad Hasbullah, pihaknya sentiasa bersedia melaksanakan arahan atau polisi kerajaan berkaitan aspek keselamatan di kawasan berkaitan.

Terdahulu, beliau menyempurnakan
pelancaran Konvoi Kumpulan Tempur TDM yang akan bergerak ke enam bandar utama dari Tawau sebelum berakhir di Kota Kinabalu.

“Sebanyak 29 kenderaan tempur dan logistik menyertai konvoi tersebut seperti kenderaan perisai Gempita, Lipan Bara, kenderaan pembawa senjata, kenderaan pembawa meriam dan sebagainya.

“Selain itu, beberapa aktiviti lain turut diadakan termasuk pameran, pancaragan, drumline, persembahan badan kesenian TDM,” katanya.

Lebih menarik lagi, kira-kira 10,000 pengunjung berpeluang melihat pertunjukan payung terjun dari sepuluh penerjun Markas Grup Gerak Khas TDM dari helikopter EC725 pada ketinggian 6,000 kaki.

ABDUL YAZID

Sementara itu, orang ramai Abdul Yazid Jasim, 19, sanggup datang dari Semporna ke Tawau untuk menghadiri Program Pelancaran Hari Tentera Darat bagi membolehkannya menyertai pemilihan awal sebagai perajurit muda.

“Ayah saya juga seorang pesara tentera. Justeru, saya mendaftarkan diri di sini bagi menyambung legasi ayah untuk terus berkhidmat kepada negarq sebagai anggota tentera,” katanya.