ATM Bantu Hospital Sibu Bina Hospital Medan

SIBU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia membantu Hospital Sibu menangani masalah kepadatan wad rawatan pesakit COVID-19 melalui pembinaan sebuah hospital medan. 

Briged Kesembilan Infantri Malaysia yang berpengkalan di sini, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan hospital itu akan menempatkan 100 katil dan pesakit pada satu-satu masa bagi menguruskan pesakit bukan kes COVID-19. 

“Pembinaan hospital medan ini terbahagi kepada empat fasa iaitu fasa pertama ialah penubuhan Holding Bay Area di parkir Zon 5 serta kerja-kerja pemasangan lima khemah jenis TM36 dengan holding bay itu akan diselia sepenuhnya oleh kakitangan Hospital Sibu.

“Fasa kedua pula ialah menyusun atur kedudukan khemah dan penempatan 100 katil yang dikoordinasikan oleh pihak Hospital Sibu, diikuti fasa ketiga iaitu pembukaan Hospital Medan Sibu yang dijangka akan beroperasi secara rasmi pada 15 Okt dan akan diatur gerak oleh staf perubatan daripada 1 Batalion Ubat,” menurut Briged itu.

Fasa keempat pula ialah penarikan Hospital Medan Sibu akan dilaksanakan setelah kes semakin berkurangan dan sehingga Hospital Sibu mampu mengendalikan pesakit seperti sediakala.