ATM Akan Bina Hospital Medan di Labuan

SAMARAHAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina sebuah Hospital Medan di Labuan bagi menampung pesakit COVID-19 yang semakin meningkat di sana, kata Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan untuk membina hospital itu dibuat setelah melihat peningkatan kes positif COVID-19 yang mendadak sehingga seluruh Labuan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kita diminta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyediakan Hospital Medan di sana kerana jumlah katil di hospital sedia ada berada pada ditahap kritikal,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin pandu lalu Tentera Darat di Kem Muara Tuang, Samarahan di sini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pasukan teknikal ATM akan digerakkan ke Labuan pada Selasa depan dan hospital itu dijangka beroperasi mulai 27 Jun dengan dilengkapi 90 katil, empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU), lapan doktor termasuk pakar perubatan dan 30 anggota paramedik.

Sementara itu, Ismail berkata seramai 7,032 individu terdiri daripada warga tentera, keluarga serta kakitangan awam di sekitar Kuching telah disenaraikan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Inisiatif program vaksinasi pandu lalu ini akan diperluaskan lagi secara berskala besar. Kementerian Pertahanan dan ATM telah merancang untuk melaksanakan program itu meliputi penempatan dan kem tentera di seluruh negara,” katanya.

Program vaksinasi pandu lalu di Kem Muara Tuang dilaksanakan selama lima hari bermula hari ini dan berlangsung selama lapan jam sehari bermula seawal 8 pagi hingga 4 petang dengan anggaran seramai 960 orang penerima vaksin sehari.

Dalam pada itu, Ismail berkata ATM juga akan membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan  di Sarawak dengan menggerakkan “Combat Medic Vaccination Team” (CMVT) bagi memberikan perkhidmatan vaksinasi ke kawasan pedalaman.

“Setakat ini terdapat lima lokasi pemberian vaksin di kawasan pedalaman di Sarawak telah dikenal pasti meliputi tiga Bahagian di Sarawak iaitu Limbang, Kapit dan Sibu dengan proses penghantaran vaksin akan menggunakan laluan udara, air dan darat,” katanya.

CMVT di Sarawak akan diselaraskan oleh Markas 1 Divisyen Infantri dengan seramai lima orang pegawai perubatan, 15 anggota paramedik akan digerakkan termasuk 30 anggota sokongan yang bertugas di setiap kawasan terbabit.