ATB Gagalkan Cubaan Seludup 3,500 Karton Rokok Bernilai RM420,000 Di Tawau

TAWAU : Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menerusi Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) mematahkan cubaan menyeludup masuk 3,500 karton rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM 420,000 di Lorong Haji Salleh, berhampiran Kampung Sri Aman, di sini, awal pagi tadi.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata pasukan QRF yang sedang melakukan rondaan Op BENTENG BERSAMA menyedari tindakan dua lelaki yang sedang memunggah kotak ke dalam sebuah stor, kira-kira jam 1.30 pagi.

Menyedari kehadiran pasukan QRF, kedua-dua lelaki itu bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal mendapati stor terbabit digunakan bagi tujuan transit penyimpanan rokok seludup dari Indonesia ke pasaran Tawau.

“Pemeriksaan mendapati nilai keseluruhan rampasan bagi 3,500 karton rokok seludup berjenama Astro Menthol King dianggarkan RM 420,000.00.

“MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Karim berkata kesemua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk stindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.