ATB 2 Komited Terus Pertahan Keselamatan Pantai Timur Sabah

TAWAU: Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) akan sentiasa mengetatkan kawalan di sempadan melalui pelaksanaan Op PASIR bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan sebarang cabaran serta ancaman keselamatan demi kedaulatan Pantai Timur Sabah.

Itu jaminan yang diberikan oleh ATB 2 sempena Hari Ulang Tahun ATB 2 yang ke-13 hari ini.

Sempena ulang tahun itu, ATB 2 melaksanakan Perbarisan Hari Ulang Tahun ATB 2 yang ke-13 yang telah berlangsung di Padang Kawad Bn Ke-26 RAMD, Kem Kukusan.

Perbarisan pada pagi ini terdiri daripada tiga Detasmen dengan kekuatan seramai 12 Pegawai dan 99 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

Perbarisan ini diketuai oleh Lt Kol Nizar Azmir Abd Malek, Penolong Ketua Perbarisan Lt Kdr Mohd Firdaus Md Taib TLDM, Ajutan perbarisan Kapt Abdul Malik Karim TUDM, dan Sarjan Mejar Rejimen Perbarisan adalah PW I Amir Hamzah Lamalika.

Acara perbarisan ini dimulakan dengan ketibaan Panglima ATB 2 Briged Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin dan diringi oleh Ketua Staf Kol Wan Amir Zaki Wan Hassan TUDM disusuli dengan nyanyian lagu Berjuang Bersama dan seterusnya Pemeriksaan Perbarisan.

Majlis diteruskan dengan acara pemakaian pangkat bagi lima anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATB 2.

Wan Edenin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua anggota yang telah dinaikkan pangkat, serta kepada semua pegawai dan angggota kerana telah mempamerkan mutu disiplin yang tinggi demi menggalas amanah dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh perkhidmatan ATM.

Menyentuh sedikit berkenaan sejarah penubuhan ATB 2, ia bermula daripada Op PASIR yang dahulunya dikenali sebagai Op PASIR Bersam yang telah dilaksanakan bermula September 2000.

Bermula dari tarikh tersebut, operasi ini telah melalui beberapa perkembangan dan perubahan sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa operasi samada dari aspek aturgerak trup, aset, tadbir dan logistik serta Perintah dan Kawalan.

Pada 1 Jan 2010, MK ATB 2, Pangkalan Operasi Hadapan (POH) telah ditubuhkan secara rasminya.

ATB 2 ini pada awal penubuhannya merupakan sebuah ketumbukan Ad Hoc yang bersepadu yang mengabungkan anggota dan aset dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam segala usaha bersama bagi membenteras dan menghalang segala bentuk ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah.

Bersempena sambutan Hari Ulang Tahun ATB 2 ke-13, Sel Agama ATB 2 tidak ketinggalan dalam melaksanakan aktiviti kerohanian iaitu Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin pada 12 Jan lalu.

Majlis telah dilaksanakan bertempat di Surau AlHusna MK ATB 2. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pegawai-pegawai serta Anggota LLP MK ATB 2 yang beragama Islam.

Pengisian aktiviti-aktiviti berunsur kerohanian ini perlu diadakan bertujuan supaya warga MK ATB 2 sentiasa diberi kerahmatan serta dipermudahkan dalam melaksanakan penugasan harian.