Asrama Harian Tajaan Petronas Di SK Balambangan Siap September

Rokiah (kiri) bersama Noor Ilias (dua kanan) mendengar taklimat ringkas mengenai perkembangan projek membina AHLB di SK Balambangan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Isu kehadiran pelajar yang sangat rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan, Banggi dilihat mampu diatasi apabila pembinaan Asrama Harian Luar Bandar (AHLB) tajaan Petronas siap sepenuhnya pada September ini.

Ketua Petronas Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan Rokiah Sulaiman berkata, asrama yang sudah 80 peratus siap itu dibina dengan kos berjumlah RM4 juta.

Asrama berkenaan akan mampu menempatkan 120 orang pelajar dalam satu-satu masa. Ia mula dibina pada April 2018 dengan keluasan setiap satu blok asrama seluas 864 meter persegi.

Beliau berkata, Petronas berharap kemudahan bangunan asrama baharu itu akan membantu meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan pelajar di kawasan luar bandar.

“Pada ketika ini, pelajar di tiga perkampungan di Pulau Balambangan ini terpaksa berjalan kaki berjam lamanya dan ada yang perlu menaiki bot setiap hari untuk sampai ke sekolah.

“Atas sebab itu, apabila cuaca hujan, ramai pelajar tidak hadir ke sekolah,” katanya ketika Lawatan ke AHLB di SK Balambangan, Banggi, di sini pada Khamis.

Bangunan Asrama Harian Luar Bandar tajaan Petronas yang pertama di Sabah.

Tiga kampung itu adalah Kampung (Kg) Selamat, Kg Batu Sirih dan Kg Kok Simpul.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Datuk Raiha Azni Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, sekolah itu akan turut menerima bantuan kewangan tambahan daripada Yayasan Petronas yang membantu menyediakan perabot dan kelengkapan asrama bagi menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif.

Menurutnya, pendidikan adalah alat yang paling penting dalam membantu memperbaiki kualiti kehidupan manusia.

Raiha berkata, melalui projek infrastruktur sebegini, Petronas akan terus menyokong dan bekerjasama erat dengan Kerajaan Sabah bagi membantu menyediakan akses pendidikan dan bangunan sekolah.

“Kami percaya dengan memperkasakan kebolehan individu melalui pendidikan yang berkualiti, pengetahuan yang betul, kemahiran dan sumber yan baik mampu menyumbang kepada pembangunan modal insan yang bukan hanya memberi manfaat kepada Sabah, tetapi juga Malaysia,” katanya.

Rokiah berkata, Petronas sentiasa memantau secara dekat perkembangan projek pembinaan asrama ini melaui lawatan yang kerap, termasuk lawatan pada hari ini (Khamis) oleh Naib Presiden Penyampaian Projek & Teknologi Noor Ilias Mohd Idris.

Asrama ini akan dilengkapi dengan dua blok asrama lelaki dan perempuan termasuk dewan makan, surau, tandas serta 120 buah katil.

Rokiah (dua kiri) bersama Noor Ilias (empat kanan) ketika melawat salah satu blok Asrama Harian Luar Bandar di SK Balambangan, Banggi, di sini pada Khamis.

Pembinaan asrama ini antara salah satu daripada dua projek infrastruktur dilaksana Petronas. Satu projek lagi adalah pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau yang mula dibina pada Disember 2018.

Projek ini dijangka siap pada 2021.

Guru Besar SK Balambangan Salmat Abi berkata, penyediaan kemudahan asrama itu diyakini mampu menyelesaikan masalah kehadiran pelajar di sekolah yang dikategorikan Sekolah Kurang Murid (SKM) ini.

Pada ketika ini, terdapat seramai 78 orang pelajar yang bersekolah di situ, termasuk 12 orang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

Katanya, kehadiran pelajar di situ secara puratanya kurang daripada 60 peratus terutama sekali ketika musim hujan.

Beliau turut berpuas hati melihat perkembangan pembinaan asrama itu yang dijangka siap seperti dijadualkan.

Mengenai bantuan makanan pelajar yang bakal ditempatkan di asrama itu, beliau akan memohon dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menyediakan bantuan makanan kepada pelajar yang akan ditempatkan di asrama berkenaan.