Asrama Baharu Beri Sinar Harapan Kepada Pelajar SK Balambangan

109

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu dan laut bergelora hampir setiap minggu sudah menjadi rutin Fatilah Akmad,11, serta lebih 20 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan, Banggi yang tinggal di Kampung (Kg) Batu Sirih.

Namun, tiada apa yang boleh dilakukan oleh mereka selain terpaksa duduk di rumah sehingga keadaan cuaca mengizinkan untuk mereka kembali ke sekolah pada hari berikutnya.

Jika cuaca hujan berhari-hari lamanya maka, mereka terpaksa ponteng sekolah sehingga keadaan cuaca baik.

Atas sebab itu, sebahagian daripada mereka akan tinggal di asrama dan pulang ke rumah setiap dua minggu.

Fatilah berkata, memandangkan dia sudah memasuki Darjah Lima dan tahun depan akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) maka, ibu bapanya membenarkan dia bersama adiknya tinggal di asrama yang serba kekurangan.

Namun, dengan adanya asrama baharu, Asrama Harian Luar Bandar (AHLB) tajaan Petronas yang serba lengkap dengan katil dan almari pakaian, ia akan membolehkan Fatilah bersama rakan lain akan tinggal dalam asrama yang lebih kondusif.

Fatilah bersama adiknya, Irwansyah.

AHLB yang dibina dengan kos RM5juta itu menempatkan dua blok bangunan asrama murid lelaki dan perempuan, dewan makan, surau dan tandas. Ia mampu menempatkan 120 orang pelajar dalam satu-satu masa.

Anak ke-13 daripada 14 beradik ini merasa teruja kerana akan menjadi kumpulan pelajar pertama yang akan tinggal dalam asrama berkenaan.

“Saya tidak sabar untuk tinggal di asrama baharu. Saya percaya dengan adanya asrama yang menyediakan kemudahan lebih baik ini, kami dapat belajar dengan lebih selesa.

“Adanya asrama sebegini kami tidak perlu risau untuk ke sekolah biarpun keadaan cuaca tidak baik,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan, Banggi, di sini pada Jumaat.

Fatilah berkata, dia berjanji akan belajar dengan lebih baik dengan adanya kemudahan asrama yang serba lengkap itu.

Turut merasa teruja dengan adanya asrama baharu itu adalah Saifuddin Jaini,11.

SAIFUDDIN JAINI

Anak sulung dari dua beradik ini berkata, dia sering ponteng sekolah ketika musim hujan kerana jarak rumah dan sekolah agak jauh.

Namun, dia mula tinggal di asrama desa sejak beberapa bulan lalu. Namun, asrama desa itu terhad kerana saiz bangunannya yang kecil.

Katanya, perjalanan dari rumahnya yang terletak di Kg Kok Simpul memerlukan dia bersama rakan lain berjalan kaki selama hampir sejam untuk sampai ke sekolah. Disebabkan laluan yang digunakan akan berlumpur ketika hujan lebat maka, mereka tidak akan ke sekolah kerana dikhuatiri laluan itu menjadi licin dan berbahaya.

Saifuddin berkata, dia merasa gembira kerana mendapat asrama yang lebih cantik dan selesa untuk diduduki.

Katanya, asrama yang serba lengkap ini akan membolehkan dia dan rakan-rakan belajar dalam keadaan lebih selesa.

SALMAT ABI

Bagi Guru Besar SK Balambangan Salmat Abi, sumbangan Petronas dalam membangunkan AHLB di sekolah itu adalah langkah tepat dalam membantu usaha pembangunan pendidikan anak-anak di kawasan pulau berkenaan.

“Seperti sedia maklum, pelajar yang bersekolah di SK Balambangan ini ada yang tinggal jauh dari sekolah terutama murid dari Kg Kok Simpul dan Kg Batu Sirih. Ada antara mereka perlu menaiki bot setiap hari dan ada juga yang berjalan kaki sejauh 8km untuk sampai ke sekolah.

“Mereka yang berjalan kaki berdepan dengan ancaman hidupan liar dan tanah runtuh. Keadaan sebegini menyukarkan mereka untuk hadir ke sekolah apabila cuaca tidak mengizinkan.

“Keadaan itu menyebabkan kehadiran pelajar di sekolah yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) itu secara puratanya kurang daripada 60 peratus,” katanya.

Menurutnya, beliau amat bangga dengan usaha Petronas dalam menyumbangkan dana membina AHLB berkenaan. Pembinaan asrama itu akan membantu menyelesaikan masalah kehadiran pelajar pada masa akan datang.

Salmat berkata, asrama desa sedia ada terlalu kecil untuk menampung jumlah pelajar yang ramai.

Beliau berkata, dengan siapnya AHLB itu, beliau berharap prestasi akademik pelajar di sekolah itu akan dapat dipertingkatkan.

AZMI KABA

“Asrama yang selesa sebegitu membuka ruang kepada pelajar untuk hadir ke sekolah setiap hari tanpa sebarang kerisauan mengenai cuaca. Kita berharap pelajar di sini boleh memperolehi keputusan lebih baik dalam UPSR,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Balambangan, Azmi Kaba berkata, dengan adanya AHLB tajaan Petronas itu, ibu bapa sepertinya tidak perlu lagi risau tentang masalah kewangan untuk menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari.

Katanya, jika menggunakan bot tambang, ibu bapa perlu berbelanja setiap hari untuk menghantar anak ke sekolah. Itu menyukarkan ibu bapa pelajar kerana ketika musim tengkujuh mereka yang bekerja sebagai nelayan tidak mempunyai pendapatan dari hasil jualan tangkapan ikan.

BERITA BERKAITAN :-

AHLB SK Balambangan Bantu Selesai Masalah Pelajar