Aset Pertahanan Di Sabah Ditambah Ikut Kemampuan – Mat Sabu

581
Aset Pertahanan di Sabah ditambah ikut kemampuan, kat Menteri Pertahanan, Mohd Sabu.

SANDAKAN: Aset pertahanan di Sabah akan ditambah mengikut kemampuan belanjawan 2019 yang diumum sebelum ini, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Perincian mengenai perkara itu akan dilihat dari semasa ke semasa, katanya kepada pemberita selepas majlis konvensyen Parti Amanah Negara peringkat Sabah di sini, Ahad.

MAT SABU

“Setakat ini aset lama akan diganti mengikut kemampuan yang ada pada kita,” katanya yang turut menegaskan bahawa belanjawan 2019 bagi kementeriannya adalah kekal dan tidak berkurang sekali gus banyak aset dapat diselenggara dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Mohamad secara peribadi berkata hal-hal berkaitan Sabah termasuk isu keselamatan dan pelancongan adalah penting bagi beliau.

“Ada cubaan (elemen jenayah) tetapi kurang dengan adanya kerjasama rondaan keselamatan di perairan dan darat tiga negara (Malaysia, Indonesia dan Filipina) di sempadan,” katanya dan menambah bahawa peratusan elemen jenayah di Sabah khususnya Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) adalah aman.

Sementara itu, beliau berkata segala bentuk usaha untuk memajukan Sabah termasuk sektor pelancongan akan disokong jika dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet.