ASEAN Perlu Bekerjasama Pastikan Insiden Penculikan Tidak Berlaku

1903

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Mindanao dan Sulawesi dalam memastikan insiden penculikan tidak berlaku dalam kalangan rakyat di ketiga-tiga wilayah ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, itu antara mesej yang disampaikan kepada wakil dari Mindano, Filipina dan Sulawesi, Indonesia semasa mereka melakukan kunjungan terhadapnya pada Khamis.

“Saya memberitahu mereka bahawa kita (Malaysia, Filipina dan Indonesia) perlu bekerjasama bagi memastikan aktiviti penculikan manusia tidak seharusnya berlaku dalam kalangan negara Asean.

“Kita sepatutnya meningkatkan kerjasama perdagangan antara negara jiran baik dengan Filipina mahupun Sulawesi (Indonesia) dalam memastikan kita dapat membangunkan wilayah Asean ini demi kebaikan rakyat,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Mid-Autumn Lantern Festival, di sini pada malam Sabtu.

Shafie Apdal sert isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib menghadiri majlis Mid-Autumn Lantern Festival di Kota Kinabalu pada malam Sabtu.

Program itu dihadiri lebih 5,000 pengunjung yang datang dari dalam dan juga luar negara.

Dalam masa yang sama, beliau juga memberi jaminan bahawa rakyat dan pelancong yang berkunjung ke Sabah akan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Saya ada berbincang dengan Azis Jamman (Timbalan Menteri Dalam Negeri) tentang keperluan meningkatkan keselamatan di Sabah. Malah saya juga berbincang dengan Tun Mahathir bagi memberi jaminan keselamatan bukan hanya kepada orang Sabah tetapi juga kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini. Mereka akan dilindungi.

“Maka, selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap dalang disebalik penculikan yang membabitkan orang Sabah,” tegasnya.

Shafie berkata, jaminan keselamatan itu perlu bagi memastikan pembangunan sektor pelancongan dapat diteruskan supaya sasaran kedatangan pelancong sebanyak 500, 000 ke Sabah dapat dicapai pada tahun ini dan tahun hadapan.

Untuk itu produk pelancongan juga harus dipertingkatkan agar pelancong yang datang ke Sabah boleh menikmati percutian dengan sebaiknya.

Jika dilihat ramai pelancong luar negara yang menjadikan Sabah sebagai destinasi melangsungkan perkahwinan mereka. Maka, pakej yang ada perlu dipertingkatkan agar dapat menarik lebih ramai orang luar melaksanakan majlis mereka di negeri ini.

Mengenai sambutan pesta kuih bulan itu, Shafie berkata, program sebegitu akan membantu memelihara budaya masyarakat Cina. Ini penting kerana kekayaan budaya yang ada di Sabah bukan hanya dapat mampu menarik pelancong dari China tetapi juga dari negara lain seperti Amerika Syarikat, New Zealand dan United Kingdom.

Beliau juga mencadangkan supaya Gaya Street mengadakan pesta makanan tempatan bagi membolehkan masyarakat tempatan dan pelancong asing menikmati pelbagai jenis makanan yang terdapat di Sabah. Program sebegitu juga mungkin boleh dilakukan di daerah lain seperti Tawau dan Sandakan.

Dalam perkembangan lain, Shafie juga memberi jaminan kepada rakyat bahawa Kerajaan Baharu dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah itu akan berusaha membangunkan Sabah sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah.

Bagaimanapun, beliau menyarankan rakyat supaya bersabar kerana membangunkan ekonomi negeri bukan perkara yang boleh dilakukan dalam sekelip mata. Malah, belum sampai setahun pun kerajaan baharu ini memerintah.

“Namun saya yakin, kita mampu membangunkan negeri ini dan memastikan peluang pekerjaan diberikan kepada anak-anak tempatan,” ujarnya.