Artis Tempatan Puji, Yakin Peranan Shafie Apdal Bangunkan Tambunan

193

Oleh FRANCIS LANDONG
KOMEN: Sebagai anak jati kelahiran daerah Tambunan amat berterima kasih atas keprihatinan Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Bin Haji Apdal yang sudi hadir di Tambunan untuk melawat Gereja St. Theresa, merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Mahkamah Anak Negeri, merasmikan Majlis Perasmian Kampus Kolej Komuniti dan Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat yang dihadiri lebih 4,000 orang penduduk Tambunan pada Sabtu lalu.

Kehadiran Datuk Seri Shafie bagaikan memberi sinar harapan baharu kepada kita masyarakat Tambunan dan membuktikan bahawa dia merupakan Ketua Menteri yang tidak berat sebelah dan sentiasa memberi perhatian kepada semua masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan tempat, kerana muda didekati, mesra dan prihatin kepada semua masyarakat di negeri ini.

FRANCIS LANDONG

Ini kerana kami telah menyangkakan bahawa kami penduduk di Tambunan tidak akan dapat perhatian apatah lagi pembelaan dan pembangunan daripada kerajaan baharu negeri Sabah dan Persekutuan, kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kami berada di pihak pembangkang. Namun tanggapan kami berkenaan itu salah 100%.

Kehadiran beliau dalam kerja seharian itu telah membawa kepada banyak sumbangan, pembangunan, kemudahan dan peruntukan kepada kami masyarakat Tambunan.

Kehadiran beliau di Gereja St. Theresa membuktikan beliau adalah Ketua Menteri yang mementingkan kebajikan dan prihatin kepada pembangunan seluruh pelusuk negeri ini khususnya di Tambunan tanpa mengira agama, malahan menghormat kepelbagaian agama.

Ini terbukti dengan peruntukan yang telah diluluskan oleh beliau sebanyak RM1 juta kepada pembangunan gereja St. Theresa dan ini merupakan jumlah yang amat besar yang jarang berlaku khususnya apabila ianya diluluskan oleh pemimpin yang beragama Islam kepada sesebuah gereja.

Ianya juga diakui oleh Paderi Paroki St. Theresa, Rev Fr Rudolf Joannes bahawa peruntukan itu merupakan sumbangan yang terbanyak yang diterima oleh gereja itu sejak penubuhannya pada tahun 1960.

Sifat peribadi beliau yang menghormati kepelbagaian agama dan kebajikan juga terserlah apabila beliau meluluskan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Tambunan yang penghuninya beragama Islam dan Rumah Kanak-Kanak Bondulu Toboh Tambunan untuk penghuni yang beragama Kristian, masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM20,000.

Selain itu, keperihatinan beliau terhadap kebajikan dan keperluan kami masyarakat Daerah Tambunan juga telah terbukti dengan penyerahan Geran Tanah kepada sejumlah 339 geran individu berstatus Native Title melibatkan seluas 1227.42 ekar kepada penduduk di semua mukim daerah ini iaitu Mukim Kerokot, Mukim Patau, Mukim Sunsuron, Mukim Toboh, Mukim Lintuhun, Mukim Nambayan dan Mukim Monsorulung.

Demi keperihatinan dan kesedaran beliau terhadap nasib penduduk dan anak cucu kami di Tambunan, beliau menasihati agar tidak menjual tanah-tanah yang diberikan ini agar kehidupan kami lebih terjamin dan terus maju dengan adanya tanah-tanah yang bergeran individu ini yang bukan mudah untuk dimiliki.

Selain itu, pembangunan yang dibawa oleh beliau demi membela keadilan dan kebajikan terhadap penduduk Tambunan juga telah terbukti dengan pembinaan Bangunan Mahkamah Anak Negeri di daerah ini yang bernilai lebih kurang RM6 juta agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk kampung di daerah ini bagi menyelesaikan apa sahaja pertikaian yang timbul.

Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tambunan ini juga mampu memberi kemudahan dan keselesaan kepada kami penduduk di daerah ini kerana memudahkan kami berurusan di bangunan yang khas dimana sebelum ini terpaksa bersesak atau bertembung dengan urusan-urusan perkhidmatan lain di Pejabat Daerah Tambunan.

Keperihatian beliau juga kepada setiap lapisan masyarakat kami terbukti apabila beliau menasihati jurutera yang bakal membina bangunan mahkamah itu agar ianya berkongsepkan mesra pengguna kerana bangunan itu nanti bukan sahaja menerima pengguna yang sihat tubuh badan tetapi juga kepada mereka warga emas dan Orang Kurang Upaya. Oleh itu, kemudahan kepada mereka akan diberi perhatian atas saranan Datuk Seri Shafie.

Usaha beliau diteruskan dengan pelancaran Kolej Komuniti Tambunan yang terletak di Jalan Batu Gong Kampung Solibog, yang menelan kos pembinaan RM19.8 juta dengan mempunyai enam buah unit bangunan yang dilengkapi dengan bangunan kuliah dan makmal di kawasan seluas 10.3 ekar yang akan mampu memberi kemudahan kepada seluruh lapisan masyarakat Tambunan, kerana kos yuran pengajian di kolej ini adalah serendah RM200 setiap semester dan RM5 untuk kursus pendek bertempoh 5 jam.

Untuk pengetahuan juga Projek Pembangunan Kolej ini juga mempunyai fasa ke-2 yang akan dilaksanakan tidak lama lagi dengan peruntukan RM30 juta yang telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang akan melibatkan pembinaan bangunan program sijil penyelenggaran kenderaan pacuan empat roda berserta bengkel dengan fasiliti dan teknologi tinggi.

Dengan adanya Kolej Komuniti Tambunan ini yang akan dilengkapi dengan bilik kuliah, bengkel dengan fasiliti dan teknologi tinggi ini akan menjadi pemangkin dan peneraju pembangunan modal insan dan pengetahuan teknologi maklumat kepada kita masyarakat di Daerah Tambunan.

Sosioekonomi dan kemudahan kepada penduduk daerah kita juga bakal lebih terjamin apabila Datuk Seri Mohd Shafie mengumumkan akan penubuhan Pusat Pengumpulan (Collection Centre) Halia untuk penduduk daerah kita menjual halia di Pusat Pengumpulan itu nanti.

Kita tidak perlu lagi mencari pasaran halia masing-masing kerana kita akan mempunyai pusat pengumpulan halia dan halia kita akan sentiasa dibeli di Pusat Pengumpulan Halia ini nanti untuk dipasarkan.

Usaha ini bukan sahaja akan memudahkan kita tetapi akan meningkatkan sosioekonomi kita di Tambunan ini.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada YB Datuk Peter Anthony,
Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, kerana menyampaikan kehendak dan permintaan rakyat Tambunan kepada pengetahuan Ketua Menteri, sehingga ianya telah berjaya membuahkan hasil.

Saya berharap agar Datuk Peter akan terus sihat dan membawa kemajuan dan pembangunan kepada negeri Sabah dan juga kepada Daerah Tambunan.

Sesungguhnya saya amat tertarik dengan ucapan beliau yang bergitu bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam membantu rakyat khususnya masyarakat Tambunan.

Saya percaya dengan usaha beliau akan membuahkan hasil yang begitu cemerlang kerana telah terbukti, apabila beliau dipilih sebagai Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pada 12 Disember 2018. SAFA telah berjaya menjuarai Liga Premier dan layak ke Liga Super musim depan setelah penantian selama 23 tahun.

Dengan ini, dari sudut hati saya merakamkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan kepada Datuk Shafie dan Datuk Peter Anthony kerana memberi harapan baharu kepada kami masyarakat Tambunan dan kami berharap usaha ini merupakan titik permulaan kepada Datuk Shafie dan Datuk Peter untuk memberi perhatian kepada kebajikan, pembangunan sosioekonomi dan pembangunan infrastruktur kepada Tambunan.

* Francis Landong adalah penyanyi tempatan dan anak jati kelahiran Tambunan