Armizan Tidak Akan Sertai Gagasan Rakyat, Terikat Akta Lompat Parti

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah tidak akan menyertai parti baharu yang akan diterajui Datuk Seri Hajiji Noor iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mereka akan kekal sebagai ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Status kami kekal sebagai ahli kepada GRS, kita tidak akan sertai parti baharu, Gagasan Rakyat kerana undang-undang tidak membenarkan. Jadi, kita akan kekal sebagai ahli langsung GRS.

“Sebagaimana sebelum pilihan raya, kita telahpun menjadi ahli secara langsung kepada GRS,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status empat bekas Ahli Parlimen Bersatu Sabah itu pada masa ini.

Armizan bersama empat ahli Parlimen GRS lain iaitu Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau) terikat dengan Akta Lompat Parti susulan akta berkenaan telah berkuatkuasa di peringkat Persekutuan sejak 5 Oktober tahun lalu.

Hari ini, Hajiji mengumumkan akan melancarkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dalam masa terdekat selepas beliau mengetuai sebahagian daripada pemimpin Bersatu Sabah keluar daripada parti berkenaan pada 9 Disember lalu.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, tindakan pemimpin Bersatu membawa kes empat bekas Ahli Parlimen Bersatu Sabah itu ke mahkamah merupakan hak parti tersebut.

“Kita serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan, itu hak mereka walaupun Speaker Dewan Rakyat telah membuat keputusan sebab di dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hak dan keputusan terletak kepada Speaker.

“Jadi, sekiranya ada pihak berkenaan masih tidak puas hati maka, itu hak mereka untuk mengajukan perkara itu kepada platform lain,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada November lalu, keempat-empat bekas Ahli Parlimen Bersatu itu ialah Armizan, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau) bertanding di bawah tiket GRS.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini, mereka belum menerima sebarang notis mahkamah mengenai tindakan pemimpin Bersatu mengenai perkara tersebut.