Armani Semakin Yakin, Kempen Diterima Pengundi

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Armani Mahiruddin yakin mampu menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga yang menjadi kubu kuat bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman.

Armani yang juga adik kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin itu berkata, ia berdasarkan penerimaan pengundi dalam setiap kempen rumah ke rumah yang diadakannya sejak kempen bermula selepas penamaan calon pada 12 September lalu.

Armani ketika ditemui berkata, kempen berjalan lancar dengan lima daripada sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan itu sudah dikunjunginya.

“Kita tidak mendahului Allah, tetapi insyaAllah kita akan beroleh kemenangan.

“Alhamdulilah, kalau dari ‘house to house’, saya rasa kalau ikut peratus kita boleh sampai 70 (peratus penerimaan pengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kempen rumah ke rumah di PDM Kampung Tinosa, di sini, hari ini.

Armani berkata, beliau berazam untuk membantu penduduk kawasan itu daripada segi membaiki rumah, jalan raya dan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda sekiranya diberi peluang oleh rakyat.

Katanya, dia mempunyai banyak perancangan untuk kawasan itu yang sebahagiannya masih perlu banyak diperbaiki biarpun penyandang kerusi itu adalah bekas ketua menteri.

Sementara itu, ketika berucap, Armani berjanji untuk membantu penduduk menyelesaikan masalah di kampung berkenaan mengenai tanah perkampungan yang belum diwartakan, selain masalah tempat letak kereta.

Kampung Tinosa adalah satu daripada perkampungan atas air di Sandakan.

Pada PRN ini, Armani bakal berdepan dengan pencabar daripada Barisan Nasional (BN) iaitu bekas timbalan presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Mohamad Hamsan Awang Supain.

Tiga lagi pencabar adalah calon daripada Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).