Armani Sahut Cabaran Tawan Kubu Kuat UMNO Sungai Sibuga

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Armani Mahiruddin bersedia untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga biarpun ia kubu kuat bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman.

Armani, 54, ketika ditemui di luar pusat penamaan calon Dewan Sri Libaran berkata, beliau yakin banyak lagi perubahan boleh dilakukan di kawasan itu biarpun ia kawasan bekas ketua menteri sejak 1994.

Katanya, dia akan menggunakan pengalaman sebagai bekas ketua Wanita UMNO Sabah serta ketua Wanita UMNO Sungai Sibuga selama 22 tahun, selain sebagai wanita pertama yang menjadi timbalan speaker Dewan Negara untuk memenangi kerusi itu.

“Kita dapat lihat pengaruhnya (Musa) sebagai bekas pemimpin sudah berlalu, tapi kita masih menghormatinya sebagai bekas ketua menteri.

“Saya sedia dan jika diberi peluang dan menang, saya akan bawa perubahan,” katanya.

Armani menyertai WARISAN pada Mei 2019 iaitu beberapa minggu selepas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Armani akan berdepan Mohamad Hamsan Awang Supain daripada Barisan Nasional (BN), Irwanshah Mustapa (Parti Cinta Sabah), Kemellia Hasan (Parti Liberal Demokratik) dan Mohd Jain Aliuddin (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) di kerusi berkenaan.

Armani berkata, jika diberi mandat oleh rakyat, beliau akan menumpukan terhadap kebajikan rakyat dan pembangunan kawasan luar bandar.