Armani Bertanding Di Sungai Sibuga Kerana Keupayaan Menjadi Wakil Rakyat

ARMANI

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga mempunyai keupayaan untuk menjadi wakil rakyat dan bekerja untuk rakyat di kawasan itu.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan memilih Datuk Armani Mahiruddin sebagai calon kerana ada kaitan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah.

Katanya, jika dikaitkan atas faktor rasuah seperti dakwaan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, ia bermakna bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman juga memilih Armani sebagai senator kerana rasuah.

“Ada orang cakap, si Najib bilang saya pilih si Armani sebab saya ada ‘corruption’ dengan TYT.

“Saya lama dengan UMNO, saya tahu menilai mana boleh bekerja. Bukan pasal abangnya TYT.

“Dulu dia senator, kalau dicadang sebab TYT, si Musa juga ‘corruption’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Masjid Kampung Tinosa, di sini, hari ini.

Mohd Shafie turut menggesa rakyat agar mengundi pada 26 September ini dengan memilih kerajaan yang boleh memerintah, bukan berdasarkan faktor agama dan bangsa.

Beliau berkata, PRN ini adalah penting untuk memastikan kemenangan Warisan Plus agar boleh terus memerintah negeri ini dan tidak lagi dikuasai Semenanjung.

“Sudah sampai masanya kita di Sabah pastikan kerajaan yang memerintah adalah rakyat kita sendiri.

“Bukan bererti kalau tidak sokong UMNO, PAS, kurang melayu, kurang Islam.

“Keislaman kita tidak terletak dalam parti itu. UMNO berpuluh tahun memerintah di bumi Malaysia apa jadi? berhutang dan masih ramai orang Melayu yang miskin, kita juga di bumi Sabah asyik sokong, hidup BN,” katanya.