Arifin Asgali: Kadar Bayaran Bas Di KK Sentral Masih Dibincang

117
Nordin (dua kiri) menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima, turut kelihatan Arifin (empat kiri) serta barisan tetamu jemputan lain.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam proses perbincangan bersama DBKK Holdings bagi menetapkan kadar bayaran setiap bas express yang beroperasi melalui Terminal Bas KK Sentral.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali berkata, pihak DBKK sedang membincangkan kadar bayaran yang munasabah untuk dikenakan terhadap setiap bas yang beroperasi dari terminal itu.

Beliau berkata, dalam tempoh sebulan ini tiada bayaran yang dikenakan dan semua bas beroperasi secara percuma.

“Bagaimanapun sekiranya ada rungutan mengenai kadar yang ditetapkan pada masa akan datang, pengusaha bas express boleh datang berjumpa dengan Mayor Bandaraya mahupun dengan saya untuk berbincang.

“Kita (kerajaan) sedia menerima pandangan pengusaha bas kerana kita tidak boleh membuat keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai rungutan pengusaha bas express berikutan kadar bayaran yang akan dikenakan di Terminal Bas KK Sentral itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Ibadah Korban DBKK, di sini pada Selasa.

Arifin berkata, berapa kadar bayaran akan ditetapkan itu belum diputuskan kerana perkara itu masih dalam proses perbincangan.

Terminal Bas KK Sentral yang dibina dengan kos sejumlah RM54 juta itu dilancarkan pada 22 Julai lalu. Terminal berkenaan menempatkan perkhidmatan bas express ke Beaufort, Sipitang, Menumbok, Lawas dan Brunei Darussalam.

Pengagihan sumbangan daging korban sempena Hari Raya Aidiladha kepada kakitangan DBKK.

Pembukaan bangunan terminal itu dijangka akan membolehkan DBKK menjana pendapatan bulanan kira-kira RM110,000 melalui kutipan sewa premis jualan dan bayaran tempat letak kenderaan.

Terdahulu, Arifin turut menyempurnakan penyampaian daging korban kepada 397 orang penerima yang meliputi kakitangan DBKK serta fakir miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dan Api-Api.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman, Adun Karambunai Azhar Matusin, Ahli Parlimen Putatan Ag Hussaini Sahari dan Adun Likas Tan Lee Fatt.