APMM Tahan 2 Lelaki Cuba Seludup Makanan Sejuk Beku Ke Indonesia

246

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua lelaki tempatan di perairan Tanjung Doris dekat sini selepas cuba menyeludup keluar pelbagai barang runcit serta makanan sejuk beku tanpa dokumen ke Indonesia, pada Isnin.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) APMM Tawau Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata pihaknya menahan bot jongkong dinaiki suspek berusia 32 dan 48 tahun kira-kira 0.9 batu nautika timur Tanjung Doris dipercayai menuju ke Pulau Nunukan, Indonesia pada 8.30 malam.

Katanya  pemeriksaan ke dalam ruangan bot menemui 44 kotak (880kg) daging sejuk beku India Silverside, tujuh kotak (70kg) buntut ayam, 47 kotak (648kg) ayam beku, 96 kotak (960kg) lobak merah, 324 tin susu pekat F&N, 327 botol pelbagai minuman bergas, 10 karton Milo Activ Go, serta 1,500kg beras pulut Thai White Glutinous dan 3,500kg pallet makanan ayam.

Selain itu turut ditemui empat kotak sayap ayam, 22 kotak kentang goreng beku, 30 kotak potongan beku tulang lembu, 32 kotak itik beku, lima kotak popia beku, 28 kotak bebola ikan, 45 kotak sosej, 34 kotak nugget ayam, 24 kotak apollo coklat, 29 kotak apollo pandan, 20 guni kecil cili kering, 45 guni kecil bawang putih dan 19 kotak maggi kari.

“Kesemua barangan itu dibawa tanpa dokumen sah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata  kesemua barangan dan bot jongkong bernilai RM100,000 itu dirampas dan ditunda masuk ke Jeti Maritim Malaysia Tawau bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar orang ramai memberikan kerjasama menyalurkan maklumat atau aduan salah laku jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS999.