APMM Rampas 100 Batang Kayu Nibong Cuba Diseludup

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau merampas 100 batang kayu nibong dianggarkan bernilai RM15,000 ketika melakukan rondaan Ops Sejahtera di Sungai Inderasabah, di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira 8.30 malam, pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan menemui beberapa ikatan kayu terapung di kedudukan kira-kira 0.17 batu nautika timur
muara Sungai Inderasabah.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata pemeriksaan mendapati sebanyak 5 ikatan pelbagai saiz membabitkan 100 batang kayu jenis nibong.

Katanya kayu nibong berkenaan ditinggalkan tanpa sebarang pengawasan dan disyaki diseludup masuk dari negara jiran.

“Kesemua kayu nibong terbabit dirampas dan ditarik ke muara Sungai Inderasabah kerana disyaki melanggar Enakmen Hutan 1968,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes seterusnya dirujuk kepada Jabatan Perhutanan Sabah cawangan Tawau untuk siasatan lanjut.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM15,000.

Pemeriksaan serta soal siasat ke atas komuniti maritim di sekitar kawasan penemuan, turut dijalankan bagi mengesan pemilik kayu nibong berkenaan, namun tiada sebarang maklumat mengenainya diperoleh.

“Dipercayai modus operandi penyeludup (adalah) meninggalkan kayu nibong berhampiran muara sungai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.