APMM Melancarkan Pencarian Mangsa Bot Nelayan Karam Di Pulau Mengalum

518

Oleh BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu telah melancarkan pencarian seorang awak-awak daripada sebuah bot nelayan yang dipercayai telah karam di perairan Pulau Mengalum, pagi tadi (Isnin).

Pada jam lebih kurang 6.45 pagi, Pusat Operasi Daerah Maritim 15 (PUSOP) telah menerima panggilan daripada Mohd Afiq Heng bin Abdullah mengenai sebuah bot nelayan dengan nombor pendaftaran MK 2980 berwarna biru dan putih telah karam ketika sedang menjalankan aktiviti memukat ikan di sekitar Pulau Mengalum.

Bot tersebut dipercayai belayar dari Jeti Safma menuju ke Pulau Mengalum pada hari Sabtu (14 April 2018) pada jam lebih kurang 6 petang dan menyatakan seorang pekerjanya bernama Husain bin Ishak, 23, warganegara Indonesia berada di atas bot tersebut.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Muda Maritim, Mohd Zubil bin Mat Som berkata, sebaik sahaja menerima laporan serta segala maklumat tambahan diperolehi, sebuah aset Maritim Malaysia iaitu Bot Pengawal 38 telah dikerahkan ke lokasi pada jam 7.35 pagi untuk membuat pencarian namun masih belum menjumpai mangsa tersebut.

Pencarian mangsa diteruskan dan dibantu sebuah aset daripada Pasukan Polis Marin (PPM) iaitu PSC 65, Sistem Pengawasan Maritim (Laut SWASLA) Sabah, dan beberapa buah bot nelayan tempatan.