Apa Lagi Pandikar Mahu? Adakah Itu Satu Lagi Taktik ‘Pecah Dan Perintah’

KOTA KINABALU: Pengumuman USBO sebagai pengaruh politik baharu di Sabah merupakan ancaman kepada usaha Parti Warisan Sabah untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Ketua Penerangan Wira Warisan Sabah, Francis Au berkata, pengumuman Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia untuk kembali dalam arena politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini melalui platform United Sabah Bumis Organisation (USBO) akan menyebabkan masyarakat di Sabah terus berpecah-belah.

Francis Au

Baru-baru ini media tempatan melaporkan bahawa Pandikar mengetuai barisan pemimpin USBO negeri dalam rombongan sebanyak 115 buah kenderaan dalam program menjelajah ke seluruh Sabah.

Usaha UMNO-BN meraih sokongan rakyat melalui USBO ini akan cuba mendekati masyarakat Pantai Timur yang mana pada ketika ini menyokong parti Warisan di bawah pimpinan Mohd Shafie bin Haji Apdal.

Pandikar yang sudah berusia 64 tahun adalah antara pemimpin yang punya jasa di Sabah dan punya pengalaman luas dalam politik. Tetapi beliau harus sedar bahawa rakyat Sabah hari ini rata-ratanya sudah menolak UMNO-BN.

PECAH DAN PERINTAH

Golongan muda sudah mula sedar dengan pendekatan ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan UMNO-BN di Sabah selama ini.

Oleh itu, sebagai golongan muda kita harus bangkit menentang penindasan UMNO-BN keatas rakyat Sabah yang mana negerinya kaya tetapi rakyatnya miskin.

Perubahan yang dituntut bukan sahaja dari aspek pembangunan sosio-ekonomi tetapi perubahan terhadap lanskap politik secara menyeluruh serta bersifat inklusif kepada semua kaum di negeri ini.

Politik di Malaysia amnya, dan Sabah khasnya hari ini dipisah-pisahkan mengikut demografi yang mana masyarakat Kadazandusun Murut menganggotai parti PBS, UPKO dan PBRS.

Sementara, masyarakat pribumi Pantai Timur seperti Bajau, Suluk, Bugis dan sebagainya pula menganggotai parti UMNO.

Apa lagi Pandikar mahu?

Sebelum ini, masyarakat di Sabah tidak punya pilihan melainkan menyokong parti-parti berkenaan seperti mana yang telah diberi mandat pada PRU13.

BERSATU DI BAWAH WARISAN

Namun, rakyat Sabah tidak mahu lagi diperbodoh-bodohkan oleh pemimpin UMNO-BN ini.

Setelah kewujudan parti Warisan rakyat Sabah kini mempunyai pilihan untuk bersatu di bawah parti Warisan, yakni parti berbilang kaum.

Ini bukan sahaja ditulis di dalam perlembagaan parti, tetapi dengan jelas diterjemah di dalam susunan kepimpinan tertinggi parti.

Susunan jawatan kepimpinan Warisan memperlihatkan secara jelas bahawa parti ini mendokong aspirasi dan perjuangan politik rakyat Sabah merentasi sempadan suku dan agama.

Rakyat Sabah kini mempunyai pilihan untuk bersatu di bawah parti Warisan, yakni parti berbilang kaum.

Ini telah diterjemah di dalam susunan kepimpinan parti yang mana selain Shafie sebagai seorang pribumi Sabah berbangsa Bajau selaku presiden, parti Warisan ini juga ditunjangi oleh pemimpin daripada masyarakat Kadazandusun yang mana Darell Leiking selaku Ahli Parlimen Penampang memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden.

PERJUANGAN SEMUA KAUM

Dalam program ‘Bicara Presiden’ bersama masyarakat Tambunan yang diadakan baru-baru ini, Shafie telah menyeru kepada masyarakat Kadazandusun Murut agar memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti Warisan kerana parti ini bakal membawa perubahan untuk semua kaum di Sabah.

Katanya, jika hari ini masyarakat Pantai Barat dan Pedalaman yang terdiri daripada masyarakat Kadazandusun Murut telah menerima beliau sebagai seorang berbangsa Bajau sebagai pemimpin dan presiden parti.

Maka, tidak ada sebabnya mengapa masyarakat di Pantai Timur menolak jika sekiranya YB Darell Leiking mengambil alih teraju kepimpinan parti Warisan setelah persaraan beliau.

“Jika saya saya tidak ikhlas dalam memperjuangkan semua kaum, maka saya akan meletakkan tiga jawatan Timbalan Presiden untuk meneruskan penguasaan kaum Bajau di dalam parti.

“Tetapi oleh kerana kita ikhlas untuk memperjuangan semua kaum, maka hanya satu jawatan timbalan presiden diwujudkan.

“Kerana, jika sekiranya apa-apa terjadi kepada saya, maka Darell Leiking selaku Timbalan Presiden akan mengambil alih pucuk pimpinan parti”, jelas Shafie.