Apa Dah Jadi Ni; SMK Pekan Nabalu Projek Gajah Putih Barisan Nasional

Jo-Anna Sue Henley Rampas

Oleh JO-ANNA SUE HENLEY RAMPAS
KENYATAAN: Atas keluhan dan aduan rakyat di Kiulu, rombongan Parti Warisan Sabah telah membuat tinjauan ke kawasan tapak pembinaan berkenaan yang terbengkalai sejak tahun 2013.

Melalui tinjauan berkenaan, apa yang kelihatan hanyalah tapak peninggalan bangunan dengan serpihan tiang-tiang konkrit yang menjadi contoh klasik kepada kegagalan pengurusan oleh pemimpin dan wakil rakyat Kerajaan Barisan Nasional.

Menteri Pelancancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataannya pada tahun 2011 menjelaskan bahawa projek ini telah diluluskan sejak Rancangan Malaysia ke-7.

Projek pembinaan sekolah yang menyediakan 18 buah bilik darjah, dua blok asrama, satu blok kuarters guru, sebuah padang dan lain-lain lagi dijangka selesai pada 12 Julai 2013.

Sekiranya projek ini dapat direalisasikan, ia dapat memberi kemudahan kepada para pelajar yang mana hanya mengambil masa dalam 30 minit hingga 1 jam untuk ke sekolah.

Pada masa ini, perjalanan persekolahan ke Sekolah Menengah bagi pelajar sekitar kampung ini mengambil masa dalam lebih kurang 3 jam ke sekolah terdekat seperti SMK Tamparuli, SMK Tun Fuad Stephen, Kiulu, SMK Tenghilan dan SMK Narinang, Kota Belud.

Masidi, selaku Exco Pelajaran Negeri Sabah dalam sidang DUN pada 2013 melalui jawapan bertulis bagaimanapun menjelaskan bahawa projek berkenaan terpaksa dibatalkan.

Menurut beliau, kontraktor yang terlibat dengan projek pembinaan SMK Pekan Nabalu yang terpaksa dihentikan kerana telah memulakan kerja-kerja tanpa menunggu hasil kajian pernilaian kesan alam sekitar (EIA). Tindakan telah diambil dengan kontraktor dikenakan kompaun berjumlah RM50,000 atas kesalahan yang dilakukan.

Cuma yang tinggal rangka bangunan dan serpihan tiang-tiang konkrit.

Difahamkan juga laporan berkaitan dengan juru perunding dan kontraktor yang terbabit telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan.

Susulan daripada itu, pihak KPM telah membuat keputusan untuk membatalkan projek berkenaan.

Oleh sebab ianya menjadi tanda tanya kepada rakyat di Kiulu berikutan tiadanya tanda-tanda yang jelas bahawa projek ini akan disambung semula. Namun apa yang kita lihat ternyata sehingga tahun 2017, tiada sebarang tindakan yang diambil.

Datuk Wilfred Madius Tangau, selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia sehingga kini gagal untuk memberi penjelasan kepada penduduk Kiulu mengenai status terkini projek pembinaan SMK Pekan Nabalu.

Daerah Tuaran sepatutnya amat bertuah kerana diwakili oleh pemimpin seperti Datuk Joniston Bangkuai, ADUN Kiulu dan Madius Tangau, Ahli Parlimen Tuaran yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat. Namun, amat mendukacitakan, sejak sekian lama projek ini terbengkalai ianya masih gagal diselesaikan oleh pemimpin Barisan Nasional.

Warisan amat mengambil berat mengenai kegagalan Barisan Nasional yang bukan sahaja satu pembaziran wang rakyat, malahan lebih teruk lagi menafikan akses pendidikan kepada masyarakat penduduk sekitar N.11 Kiulu seperti Kg Tiong, Kg Lokos, Kg Tomis, Kg Wassai, Kg Sinulian, Kg Taginambur, Kg Tiong, Kg. Simpangan, Kg. Pahu dan kampung-kampung berhampiran.

Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal amat menitik beratkan hal ehwal pendidikan dan masa depan anak-anak rakyat Sabah.

Melalui ucapan dalam beberapa siri jelajah Warisan, Shafie telah memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa antara keutamaan Parti Warisan Sabah adalah memberi perkhidmatan pendidikan berkualiti yang mana selama ini Sabah jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semenanjung sama ada dari aspek pencapaian mahupun prasarana.

Apabila Warisan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri, Kementerian Pelajaran di Sabah akan diwujudkan dengan pelan yang komprehnsif untuk memastikan rakyat Sabah mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya.

Melalui Kementerian ini juga, antara lain memberi penekanan kepada subjek Sejarah Sabah dan The North Borneo sebagai subjek teras yang selama ini dipinggirkan dalam sukatan pelajaran untuk memberi kefahaman kepada penduduk Malaysia amnya dan rakyat Sabah khasnya.

  • Jo-Anna Sue Henley Rampas adalah Naib Ketua Wirawati dan Ikon Belia, Parti Warisan Sabah