Apa Bah Yang Kita Rugi?

KOTA KINABALU: Ada pihak-pihak tertentu yang mengeluh dengan pelebaran pengaruh Warisan ke Semenanjung Malaysia. Izinkan saya memberi pandangan dari sudut mata saya sendiri.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang terdapat di Malaysia adalah sebanyak 222. Dari keseluruhan 222 kerusi ini,13 kerusi tersebut terdapat di Wilayah Persekutuan (6%), 153 di Semenanjung Malaysia (69%) dan sejumlah 31 kerusi terdapat di Sarawak (14%). Sabah hanya mempunyai 11% kerusi parlimen sahaja, iaitu bersamaan dengan 25 kerusi.

Soalan pertama saya… Adakah ini adil?

Adakah kita berpuas hati dengan jumlah ini? Adakah jumlah 25 kerusi ini cukup untuk memberi suara kepada Sabah apabila berhadapan dengan ahli-ahli parlimen dari Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan dan Sarawak?

Ini belum kita sentuh 25 kerusi Sabah dipecah-pecahkan oleh parti-parti tempatan Sabah dan parti-parti dari seberang yang menjadikannya lebih kecil lagi. Sampai bila kita ingin biarkan “pecah dan perintah” ini berlaku di Sabah? Sudahlah hasil dan sumber kekayaan kita diambil, suara kita juga turut diambil. Malah, kuasa Ketua Menteri kita pula kini diambil. Kita tidak mahu berlagak seperti ahli parlimen Kimanis yang berteriak-teriak di parlimen… “ambillah, ambillah semua,” seolah-olah Sabah ini milik bapak dia seorang. Sabah ini milik rakyat Sabah dan kita sebagai rakyat Sabah juga berhak untuk bersuara.

Mengapakah kita relakan 25 kerusi parlimen Sabah dikongsi-kongsikan dengan parti-parti dari seberang tetapi kita halang parti politik dari Sabah untuk berkongsi kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia?

Sekiranya kita katakan bahawa parti-parti dari Semenanjung Malaysia ini mampu untuk membawa pembangunan yang seimbang, adakah Sabah telah mendapat pembangunan yang seimbang dalam tempoh 53 tahun bersama Persekutuan Malaysia? Adakah kita berpuas hati dengan pembangunan yang diperolehi oleh Sabah sekarang?

Dimanakah kesamarataan yang telah dijanjikan kepada kita? Setakat bising di kampung tidak akan membawa kita kemana-mana. Kalau kekuatan suara Sabah itu sukar untuk kita dapatkan di Sabah, apa salahnya kita dapatkan ditempat lain pula? Orang lain boleh kongsi hak kita, tak kan pula kita nak halang orang Sabah kongsi hak mereka.

Adakah kita sudah lupa dengan hak kita selama ini atau kerana kita terlalu berpolitik sehingga kita terlupa bahawa kita sudah tersasar?

Tujuan pelebaran sayap ke Semenanjung adalah untuk mendapatkan lebih banyak suara kita di parlimen nanti. Mengapakah harus kita halang niat Warisan untuk cuba dapatkan suara yang lebih kuat di parlimen?

Dengan jumlah kerusi yang begitu sedikit, tanya diri sendiri… apa yang mampu kita lakukan untuk mengubah nasib Sabah yang sudah lama jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia?

Apabila Warisan bercadang untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia, ramai pula yang tergugat. PBS dan Star pernah melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia, mengapa ramai yang mengambil keputusan untuk berdiam diri? Kalah atau menang Warisan di luar Sabah kita serahkan kepada pengundi untuk menentukannya. Apa yang membuatkan kita gusar sangat? inilah amalan demokrasi yang kita laungkan selama ini, iaitu memperjuangkan kesamarataan.

Ada pula puak-puak tertentu yang mengatakan bahawa Warisan akan kehilangan identitinya sebagai parti tempatan Sabah dan menjadi parti nasional sekiranya ia melebarkan sayapnya ke seberang. Adakah meluaskan pengaruhnya ke seberang sana akan mengubah matlamat dan struktur kepimpinan parti tersebut? Pucuk kepimpinannya tetap sama, matlamatnya tetap sama, dan identitinya tetap sama. Sekiranya saya sebagai seorang dari kaum Dusun Sabah menetap di Kuala Lumpur selama 20 atau 30 tahun, adakah saya akan bertukar menjadi Melayu?

Ada pula yang mengatakan bahawa Warisan menghabiskan wang yang banyak di Semenanjung Malaysia untuk berkempen. Tetapi ramai pula yang tidak tahu bahawa program-program yang diadakan di sana adalah atas tanggungan kewangan pihak yang menjemput. Pemimpin Warisan hanyalah hadir sebagai jemputan khas sahaja. Adakah itu suatu kerugian kepada kita?

Ada pula yang mengatakan bahawa Warisan bakal diambil alih oleh orang-orang politik dari seberang sekiranya terlalu banyak kerusi yang menang di sana. Pertama, terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan bahawa Warisan akan menang besar di Semenanjung Malaysia. Kedua, Warisan tidak pernah mengatakan untuk bertanding di kesemua 166 kerusi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan. Hanya kerusi-kerusi yang kita yakin boleh menang sahaja akan ditandingi. Itu pun, dimana kawasan kerusi-kerusi tersebut yang akan ditandingi masih belum lagi disah dan diumumkan. Dari manakah pula puak-puak ini dapatkan maklumat mereka?

Yang memperlekehkan slogan “Sabah for Sabahan” atau dalam erti kata lain “Kita berjuang demi Sabah”… biar saya lontarkan satu soalan lagi. Bagaimanakah kita akan merealisasikan kesemua ini tanpa suara? Itu sebabnya kita perlu suara yang lebih kuat dengan menambah jumlah kerusi parlimen Warisan.

Jangan biarkan diri kita dimanupulasikan oleh pihak-pihak tertentu. Mereka itu ada agenda mereka sendiri. Dapatkan maklumat yang sahih dari sumber yang boleh dipercayai. Berpolitik biarlah bijak. Buat kajian sendiri dan jangan hanya menjadi pak turut.

*_Ulasan Dr Julian Sidin, Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan_*