Anjur Pesta Liar, 9 Individu Termasuk 2 Remaja Ke Mahkamah Ingkar PKP

9 individu, enam lelaki dan 3 perempuan, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini kerana ingkar PKP.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Sembilan individu termasuk dua remaja yang menyertai pesta liar, Sabtu lalu, mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Mahkamah Majistret Tawau, di sini hari ini.

Tertuduh Fendi Sandana, 18; Kamaruddin Yusuf, 19; Mohd Usman Jamal, 23; Asri Basri, 26; Amir Kahar Diari, 29; Nuramira Sikin Rommel, 21, dan Norazlin Erdawati Surtoyol, 20 serta dua pesalah remaja berumur 17 tahun didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 April 2020, pikil 8.12 malam.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, semua tertuduh ditahan ketika terbabit dalam pesta liar di sebuah rumah, Jalan Harmoni, Kampung Tass, Andrassy, dalam daerah Tawau.

Mereka yang berasal dari Tawau dan Kunak itu didakwa secara bersama, berkumpul di rumah berkenaan untuk melakukan aktiviti sosial semasa dalam tempoh PKP, dengan berhibur secara keterlaluan sehingga menimbulkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman penduduk setempat.

Sehubungan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7, Peraturan yang sama, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintah lima tertuduh lelaki iaitu Fendi, Kamaruddin, Mohd Usman, Asri dan Amir dihukum penjara selama empat bulan.

Manakala, Nuramira dan Norzalin pula dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan turut menetapkan tertuduh yang tidak memiliki dokumen, dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebaik selesai menjalani hukuman, bagi tujuan proses penghantaran pulang ke negara asal.

Bagi dua pesalah kanak-kanak iaitu masing-masing lelaki dan perempuan, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 15 Mei depan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Semasa prosiding mahkamah, pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.