Anjur Aktiviti Komuniti, Bantu Golongan Memerlukan – Uda

429
Uda membantu memotong rambut salah seorang murid yang menyertai program berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTATAN: Badan korporat dan individu berkemampuan diseru untuk terlibat dalam aktiviti komuniti bagi membantu golongan memerlukan terutamanya semasa menjelang sesi persekolahan baharu yang akan bermula tidak lama lagi.

Pembantu menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai berkata, pembabitan berkenaan secara langsung memberikan impak kepada masyarakat terutamanya dalam cara penyampaian kerajaan negeri yang sentiasa berkhidmat melalui pelbagai medium.

Beliau berkata, secara umumnya, golongan ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memenuhi keperluan dan kelengkapan anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan baharu. Maka, menerusi program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebegini bebanan ibu bapa sedikit sebanyak mampu diringankan.

“Ramai mengeluh terpaksa mengeluarkan pelbagai belanja bagi menampung keperluan anak-anak mereka ketika musim buka sekolah nanti.

Uda merakamkan gambar kenangan bersama kanak-kanak yang menerima bantuan menerusi program berkenaan.

“Sehubungan itu, selain beberapa program bantuan yang dianjurkan oleh kerajaan, kita amat mengalu-alukan pembabitan ramai pihak dalam menunaikan CSR bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program gunting rambut secara percuma di Azu Beauty Care Royal Plaza Putatan, anjuran Dun Petagas di sini, pada selasa.

Hadir sama adalah ketua Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Petagas Madili Yusuf dan Pengerusi Penganjur program Asdin Minin.

Sementara itu, Asdin berkata, ianya merupakan salah satu insiaitif pihaknya bersama jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada AJK Bahagian Warisan Petagas dalam membantu golongan ibu bapa menjimatkan perbelanjaan bagi menghantar anak mereka untuk bergunting rambut.

“Program ini adalah sebagai usaha membantu meringankan beban kos perbelanjaan ibu terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

“Ini juga sebagai penambah semangat khasnya kepada anak-anak yang akan memulakan sesi sekolah darjah satu pada tahun hadapan,” katanya.