Anifah Tegur Nazri: Jangan Mengguris Hati Dan Perasaan Rakyat Sabah

ANIFAH AMAN

Oleh ANIFAH AMAN
KENYATAAN: Merujuk kepada kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Abdul Aziz berkenaan Cukai Pelancongan yang bakal dilaksanakan dan kenyataan beliau terhadap Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Karim Abdul Rahman Hamzah.

2. Sebagai seorang rakan dalam Kabinet Persekutuan, saya berpendapat perkara ini seharusnya dibincangkan dengan cara yang lebih diplomasi serta melambangkan semangat perpaduan dalam Barisan Nasional (BN).

3. Ingin saya jelaskan, sebarang permasalahan serta isu, terutama yang menyentuh sensitiviti rakyat, seharusnya ditangani melalui perbincangan dan mengambil pendekatan lebih diplomatik dalam urusan berkaitan kebajikan rakyat berbilang kaum dan agama.

4. Isu sebegini hendaklah dijelaskan secara baik bagi mengelakkan tercetusnya perkara-perkara yang boleh mengguris hati dan perasaan rakyat di Sabah dan Sarawak. Contoh yang diberikan oleh Nazri berkenaan jumlah hotel lima bintang yang berada di Sabah dan Sarawak berbanding dengan Semenanjung merupakan perbandingan yang dirasakan tidak wajar dibuat.

5. Nazri merupakan seorang kawan dan sebagai seorang kawan saya nasihatkan agar beliau mengambil langkah yang pertama bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik. Sudah tentu Nazri akan menerima teguran ini demi kebaikan bersama. Kita di dalam keluarga BN saling menghormati dan menyelesaikan apa jua permasalahan melalui saluran yang betul demi menjaga keharmonian rakyat sejagat.

6. Mandat serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat harus sentiasa diutamakan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

  • Anifah Haji Aman adalah Menteri Luar Negeri Merangkap Ahli Parlimen Kimanis