Angin Kencang Rosakkan Rumah, Sekolah Di Pulau Gaya

KOTA KINABALU : Sebanyak 38 rumah di lima kampung di Pulau Gaya, di sini, rosak teruk selepas dilanda hujan ribut dan angin kencang, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, dua bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya serta Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya turut rosak akibat angin kencang.

Kejadian itu dilaporkan turut menjejaskan sebahagian struktur Balai Polis Pulau Gaya.

Di Kampung Lobong sebanyak 18 rumah rosak teruk.

Turut terjejas, Kampung Torong Lobong, Kampung Pondo, Kampung Kesuapan dan Kampung Seradan Rampayan.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan 3 petang semalam turut mengeluarkan amaran waspada.

Menurut kenyataan berkenaan, cuaca buruk iaitu hujan lebat, angin kencang dan ribut petir dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya yang melawat kampung terjejas di Pulau Gaya siang tadi berkata, sejumlah RM55,000 diperuntukkan kepada penduduk di lima kampung di pulau Gaya yang terkesan dalam kejadian itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, sumbangan itu disampaikan Majlis Ugama Islam Sabah dan selebihnya dari Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Katanya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) juga akan menyalurkan sebarang bantuan yang diperlukan penduduk selepas ini.

Shahelmey bersama Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, turut meninjau kerosakan di SMK Pulau Gaya.

“Kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Sabah bagi merancang penempatan pelajar bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu, lebih-lebih lagi tahun hadapan mereka akan berhadapan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Tah Nia Jaman berkata perkara ini sedang dalam tindakan Jabatan Pendidikan Sabah bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, Timbalan Ketua Setiausaha KPM akan melawat sekolah terjejas di Pulau Gaya dalam masa terdekat.