Anggota Maritim Didakwa Atas Tuduhan Rasuah

KOTA KINABALU: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Khas Rasuah di sini kelmarin.

Anggota Maritim dikenali sebagai Jazul Abdullah, 35, didakwa menerima wang suapan daripada seorang lelaki yang juga pengadu supaya dibebaskan daripada kesalahan membawa bot tamat yang tempoh sah lesen.

Hakim, Abu Bakar Manat memaklumkan tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Mac 2021, kira-kira 7.30 malam di kawasan parkir berhampiran Pejabat Perbadanan Pinjaman Sabah, Alam Mesra.

Tertuduh yang berpangkat Laskar Kelas I, didakwa menerima RM1,500 daripada pengusaha bot tersebut sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas bot dan pengadu yang membawa bot tamat tempoh sah lesen.

Kes didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Justeru, mahkamah mengarahkan tertuduh diikat jamin dengan bayaran RM8,000 dan deposit RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan.

Hakim turut memerintahkan tertuduh supaya menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melapor diri dua bulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran.

Tertuduh juga diingatkan agar tidak mengganggu suspek dalam kes tersebut.