Andy Lau, Louis Khoo Memeriahkan Festival Filem Aksi Sabah-Hong Kong

1419

KOTA KINABALU: Pelakon terkenal Hong Kong, Andy Lau dan Louis Khoo dijangka membuat kemunculan istimewa khas untuk peminat mereka sempena penganjuran julung kali Festival Filem Aksi Sabah-Hong Kong pada Mac tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew berkata acara itu akan menjadi platform untuk menggalakkan pertukaran budaya antara Sabah dan Hong Kong serta memperkenalkan keindahan Negeri Di Bawah Bayu kepada pengeluar filem Hong Kong untuk membuat penggambaran di negeri ini.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan Jackie Chan menghadiri (festival ini). Kami dengar beliau memberikan maklum balas positif, namun belum ada pengesahan,” katanya pada sidang media mengenai festival filem itu di sini hari ini (Jumaat).

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong, penganjur pemimpin masyarakat Cina Kota Kinabalu (Kapitan) Li Su Fook dan wakil syarikat produksi Hong Kong, In My Heart Production Co, Gin Lau.

Liew yang menyokong penganjuran festival filem itu berkata venue acara gilang-gemilang itu, yang dijangka berlangsung selama lima hari dari 19 Mac tahun depan, masih belum ditentukan.

Lapan pelakon filem Hong Kong telah disenarai pendek untuk festival filem itu, yang juga menyasarkan peminat filem Hong Kong dari seluruh dunia, terbang ke Sabah untuk menyaksikan festival berkenaan.