Ancaman Keganasan Di Asia Akan Diteruskan; ‘Maharlika’ Dilancarkan

1094

SANDAKAN: Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina hari Selasa melancarkan operasi bersama bagi mengekang kemasukan Pejuang Pengganas Asing (FTF) ke negara masing-masing.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Zulkifli Abdullah, berkata operasi selama dua minggu itu bermula Rabu dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol).

Katanya, dalam laporan di portal bharian.com.my, kerjasama menerusi Operasi MAHARLIKA itu bertujuan meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan negara masing-masing dalam mengekang pergerakan masuk atau keluar FTF di rantau ini, sekali gus meningkatkan keselamatan di sempadan.

“Kita banyak kerjasama dengan Interpol dalam pelbagai aspek sebelum ini, cuma dalam menangani FTF, ia yang pertama dilancarkan.

“Menerusi kerjasama ini, Interpol yang mengendalikan operasi akan membantu dari segi latihan, penyediaan aset dan sistem data,” katanya kepada media selepas melancarkan Operasi Maharlika Interpol, di sini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Operasi Sokongan dan Analisis Pejabat Sekretariat interpol, Harald Arm; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Hazani Ghazali.

MAHARLIKA dalam bahasa Tagalog bermaksud pahlawan masyarakat Filipina di Luzon, Filipina.

Menerusi kerjasama MAHARLIKA itu, INTERPOL memberi kemudahan kepada Malaysia bagi mengakses 75 juta data individu bagi memastikan maklumat diperoleh dalam waktu nyata.

Zulkifli berkata, INTERPOL memberi kemudahan gajet mengandungi data individu, sekali gus membolehkan anggota penguatkuasa menyemak rekod jenayah orang yang diperiksa ketika dalam operasi.

Sementara itu, Interpol berkata ancaman keganasan di Asia akan diteruskan, tetapi usaha anti-keganasan yang berkesan harus dipuji.

“Asia, seperti rantau lain di dunia, telah dan akan terus menjadi sasaran pengganas. Tetapi pada masa yang sama, kadar kejayaan pihak berkuasa dalam mencegah keganasan harus dipuji, “kata Pengarah Operasi dan Analisis Operasi Interpol Haralt Arm.

“Operasi seperti Maharlika adalah salah satu cara negara anggota Interpol mengamankan sempadan mereka dan mencegah pergerakan pengganas dan bahan yang boleh digunakan dalam serangan.

“Tidak ada negara atau wilayah yang dapat menangani isu-isu ini sahaja, dan usaha seperti ini penting dalam mencegah serangan pengganas.”