Anak Yatim Diraikan Sempena Program Merdeka

BELURAN: Seramai 15 orang anak yatim Rumah Anak Yatim Al Ehsan diraikan dalam program Jalinan Kasih bersempena dengan Program Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Beluran baru-baru ini.

Pegawai Penerangan Daerah Beluran, Melanie Marcellina J Kinjawan berkata, program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Labuk.

“Ini merupakan kali pertama kami mengadakan program seumpamanya bersama anak-anak yatim di rumah ini.

“Terima kasih kepada pengurusan Rumah Anak Yatim Al-Ehsan kerana sudi menerima kehadiran kami hari ini dan setinggi penghargaan kepada UPPM Labuk atas kerjasama dan membantu dalam menjayakan Program Jelajah Kasih ini.

“Kami berharap kehadiran Jabatan Penerangan Malaysia, Sabah menerusi Pejabat Penerangan Daerah Beluran bersama UPP Labuk ke sini sedikit sebanyak dapat menyuntik rasa sayang dan cinta mereka sebagai rakyat Malaysia kepada negara sempena sambutan Hari Malaysia 2021 ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pemimpin UPPM Labuk, Rafael Lindan memuji usaha yang dilaksanakan oleh jabatan berkenaan untuk menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme di peringkat akar umbi sekali gus menggelorakan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

“Program sebegini merupakan satu usaha yang baik untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab kepada bangsa dan negara.

“Hubungan permuafakatan antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama sendiri tetapi secara tidak langsung juga hubungan dengan komuniti setempat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan.

Selain menyantuni penghuni rumah Anak Yatim Al-Ehsan, Pejabat Penerangan Daerah Beluran bersama Kelab Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kolapis juga mengadakan Pertandingan Menyanyi Patriotik Merdeka @ Komuniti, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak Tabika Kemas, Kempen Derma Darah dan konvoi sempena Hari Malaysia.

Bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan program-program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Beluran, orang ramai boleh melayari Facebook Pusat Maklumat Rakyat Beluran.