Anak Sahkan Bapa, Lelaki Tertua Dunia Meninggal Akibat COVID-19 Di Tuaran

KOTA KINABALU: Lelaki tertua di dunia yang meninggal akibat pandemik Covid-19 dilaporkan semalam disahkan memang berumur 130 tahun oleh anak perempuannya, Kimri Talib.

Bapanya, Talib Omar, yang berusia 130 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat pandemik Covid-19 di Hospital Tuaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

Pengakuan Kimri mengenai kematian usia bapanya itu menjawab segala persoalan orang ramai mengenai kebenaran umur pesakit yang disahkan meninggal dunia tersebut.

“Ya. Memang bapa saya berusia 130 tahun berdasarkan dokumentasi yang dimilikinya.

“Sebelum ini bapa saya memang sihat dan dia sempat menziarahi saya di Kota Kinabalu semasa Raya lepas.

“Bagaimanapun, dia (bapa) tidak meninggal semalam sebaliknya pada 3 Nov lepas, iaitu ketika saya datang mengunjunginya buat kali terakhir di Taman Telipok Ria,” katanya kepada News Straits Times.

Kimri berkata, bapanya tinggal bersama saudara lain kerana beliau tidak dapat menjaga bapanya sendirian kerana terpaksa bekerja di pusat bandaraya.

Anak ketiga dari lima beradik ini berkata, pada hari bapanya meninggal, beliau sempat membantu bapanya itu untuk duduk kemudian memberinya minum susu.

“Tidak lama kemudian, dia meninggal dunia dalam keadaan duduk. Kami maklumkan mengenai kematiannya kepada polis pada hari yang sama.

“Hanya selepas menjalani ujian swab Covid-19, baru kami tahu bahawa arwah bapa dijangkiti Covid-19. Dia tidak menunjukkan sebarang gejala dijangkiti Covid-19,” jelasnya.

Bapanya menetap di Taman Telipok Ria. Taman perumahan ini mempunyai 18,000 penduduk dan kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 28 Nov hingga 10 Dis.

Kluster Ria-30 telah dikesan di Taman Telipok Ria yang merekodkan sebanyak 347 kes positif sehingga semalam.

Kematian pesakit ke-352 yang melibatkan lelaki bukan warganegara berusia 130 tahun itu diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, semalam.

Bagaimanapun, usia pesakit itu menimbulkan keraguan dan persoalan dalam kalangan masyarakat dengan menyangka terdapat kesilapan dalam laporan tersebut.

Berdasarkan Rekod Dunia Guiness, individu tertua yang dilaporkan di dunia sebelum ini ialah Jeanne Louise Calmet, yang meninggal dunia pada usia 122 tahun dan 165 hari pada 1997.