Anak Jati Kiulu Wakili Malaysia Dalam Kejohanan Bola Sepak

KOTA KINABALU: Dilahirkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) pekak dan bisu bukan halangan untuk anak jati Kampung Ratau Kiulu, Mickson Mailu,31, melupakan impian menjadi seorang pemain bola sepak.

Impian sejak zaman kanak-kanak itu berjaya dicapai apabila Mickson terpilih menyertai pasukan Malaysia dalam pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asia Pasifik di Iran.

Pusingan kelayakan itu dijadualkan berakhir hari ini.

Tidak dijangka, angan-angannya semasa di bangku sekolah untuk menyarung jersi Malaysia akhirnya menjadi satu kenyataan.

Berkat kesungguhan dan usaha gigih anak muda ini, membolehkan dia bersama tiga lagi rakan dari Sabah dapat beraksi mewakili Malaysia dalam Kejohanan Bola Sepak yang diadakan di luar negara ini.

“Saya berasa cukup bangga dan lega kerana dapat mewakili pasukan negara sehingga ke tahap ini. Segala kerja keras semasa latihan selama ini tidak sia-sia.

“Saya bersyukur dalam keadaan serba kekurangan, saya masih diberikan bakat oleh Tuhan dalam bermain bola sepak. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada jurulatih dan pihak pengurusan yang memberi peluang untuk saya mewakili pasukan negara ke kejohanan ini,” katanya ketika dihubungi.

Berkongsi tentang persediaan mereka sebelum berlawan bagi pusingan kelayakan, Mickson berkata, pasukannya sudah menjalani latihan di Kuala Lumpur sejak September 2020.

Semasa berada di Iran ini juga, mereka terikat dengan jadual latihan dan pertandingan yang padat.

Setiap hari, mereka akan melakukan senaman kecergasan seperti jogging pada sebelah pagi dan diikuti dengan latihan bola pada sebelah petang.

Menurutnya, dia percaya dengan latihan yang cukup padat, mereka dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam pusingan kelayakan tersebut.