Anak Gajah Cedera Terkena Jerat Akhirnya Mati

KOTA KINABALU: Anak gajah yang mengalami kecederaan akibat terkena jerat hingga terpaksa dipotong kaki hanya mampu bertahan selama dua hari sebelum disahkan mati kelmarin.

Kematian anak gajah itu berpunca daripada kegagalan organ-organ penting seperti jantung, paru-paru serta pendarahan pada saluran pemakanan seperti perut dan usus.

Ia akibat jangkitan kepada luka yang dialaminya sejak terkena jerat pada Sabtu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin berkata, anak gajah berusia kurang dua tahun itu diselamatkan oleh Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) pada Isnin.

Kemudian, ia diberi rawatan oleh pegawai veteriner pada pagi Isnin. Selepas pembedahan memotong kaki, anak gajah itu juga telah menunjukkan perkembangan yang sangat baik dan kelihatan sihat malah makan dan minum seperti gajah sihat yang biasa.

“Walau bagaimanapun, pada keesokan harinya (Selasa), anak gajah itu kelihatan agak lemah dan tertekan.

“Rawatan dan pemberian ubat telah dilakukan dan anak gajah itu bertindak balas dengan baik namun, pada sebelah petang, anak gajah itu telah rebah.

“Ia cuba untuk bangun tetapi rebah semula dan seketika kemudian iaitu pada kira-kira jam 6:15 petang, anak gajah itu berhenti bernafas. Doktor veteriner yang merawat mengesahkan kematiannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap anak gajah tersebut telah dijalankan pada tadi dan mendapati beberapa organ penting gagal untuk berfungsi.

Walaupun pegawai veteriner yang merawat telah melakukan sebaik mungkin untuk merawat anak gajah tersebut namun saya sangat sedih keadaan anak gajah itu akhirnya mati.

“Justeru, saya berharap kecederaan dan kematian sebegini tidak berulang di masa hadapan.

“Saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat Sabah untuk sama-sama berusaha membendung pemasangan jerat yang sememangnya menyalahi undang-undang bagi mengelakkan kecederaan dan kematian kepada hidupan liar terutamanya hidupan liar terancam seperti gajah,” katanya.

BERITA BERKAITAN :-

Kaki Anak Gajah Dipotong Akibat Kecederaan Terkena Jerat