Anak Buruh Ladang Cemerlang Peperiksaan SMU

KOTA KINABALU: Kemiskinan keluarga menjadi pendorong utama untuk Chairul Amrie Rudy, 17, cemerlang dalam pelajaran.

Yakin bahawa kemiskinan bukan sesuatu yang harus diwarisi maka, dia berusaha untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Kunak itu berkata, walaupun tidak berjaya memperoleh mumtaz (cemerlang) bagi semua enam mata pelajaran yang diambil namun, dia masih berbangga kerana tersenarai sebagai empat pelajar cemerlang SMU Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) bagi negeri Sabah.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, kadang-kadang apabila melihat susah payah bapanya bekerja demi membesarkan mereka, dia ingin membalas semula setiap titik peluh bapanya itu dengan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Katanya, ibunya seorang suri rumah maka, ayahnya seorang sahaja yang menggalas tanggungjawab mencari nafkah untuk mereka sekeluarga.

Berkongsi tentang rahsia kecemerlangannya, Chairul berkata, apabila peperiksaan SMU semakin hampir, dia belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Malah, dia juga sering berjumpa dengan guru apabila ada perkara yang sukar difahami.

“Hampir setiap hari selepas menunaikan solat Subuh, saya akan mula menghafaz al-Quran kerana pada waktu itu mudah untuk menghafal. Pada sebelah malam pula, saya akan kuatkan semula hafalan,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan SMU peringkat negeri Sabah kelmarin.

Chairul yang menyimpan hasrat menjadi pendakwah itu ingin melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Menurutnya, dia berharap dapat mencapai keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan SPM pada hujung tahun ini agar boleh melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Bercerita lanjut katanya, dia tidak hanya memberi fokus kepada pelajaran dalam bidang agama semata-mata sebaliknya, turut memberi fokus kepada bidang akademik.

Mengenai cabaran belajar semasa pandemik Covid-19, Chairul berkata, memandangkan mereka tinggal di kawasan estet kelapa sawit yang terletak kira-kira 40 kilometer dari sekolah maka, liputan internet agak lemah jadi sukar untuknya menghantar kerja sekolah.

“Saya juga banyak bergantung kepada hotspot wifi daripada adik-beradik yang lain. Malah, saya turut meminjam telefon mereka kerana telefon saya tidak cukup canggih dan tiada data internet,” ujarnya.