Anak-Beranak Rentung Dalam Kebakaran Di Kg Titingan Tawau

TAWAU: Dua beranak rentung dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemukan rentung dalam kebakaran yang membabitkan lima buah rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal di kampung berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Kamisah Mapiasah dan ibunya, Sadiah Jabar berusia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 pagi tadi dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak empat kilometer daripada BBP.

Apabila tiba di lokasi kejadian, terdapat lima buah rumah terlibat dalam kebakaran dan tiga daripadanya musnah sepenuhnya manakala, dua rumah lagi terbakar 40 hingga 60 peratus.

Operasi pemadaman kebakaran yang turut dibantu oleh Bomba Komuniti Sri Titingan dilakukan menggunakan dua aliran air daripada sumber air dari jentera bomba dan satu aliran air menggunakan pam angkut sumber air dari Jabatan Air Negeri Sabah.

Kedua-dua mangsa rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi pemadaman terkawal pada jam 1.32 pagi dan ditamatkan pada jam 3.08 pagi.